Sunday, September 7, 2008

Setiap Tamadun Ada Pahlawannya (Catatan Borneo II)







Menurut lagendanya, 300 tahun dahulu ada seorang wanita bernama Kizabon yang sedang mengandung dan tinggal bersama suaminya Dunggou. Di atas bumbung rumah mereka ada seekor burung suci Bugang yang membuat sarang dan tinggal di situ sepanjang waktu Kizabon mengandung.


Apabila Kizabon melahirkan anak lelaki, Bugang juga menetaskan telurnya. Dunggou mengambil ini sebagai tanda yang anak yang baru dilahirkan itu akan mewarisi kuasa istimewa; lantas beliau menamakan anaknya sebagai Monsopiad. Selain menjaga Monsopiad, Dunggou juga menjaga anak burung tersebut dan sentiasa mandikan mereka bersama. Rutin ini dilakukan sehingga burung suci tersebut sedia meninggalkan sarangnya.


Monsopiad meningkat dewasa di Kampung Kuai. di mana mereka tinggal Kampung Kuai ini sebenarnya sering di serang perompak dan penjahat memandangkan kampung ini tidak mempunyai seorang pahlawan yang benar-benar hebat. Monsopiad ini pula sebenarnya telah dididik oleh bapa dan datuknya untuk menjadi seorang pahlawan. Monsopiad pula telah membuat sumpah yang akan melawan penjahat dan mebawa pulang kepala (tengkorak) mereka untuk di gantung di atap rumahnya sebagai tanda kehebatan beliau melawan penjahat.


Walaubagaimanapun, kepahlawanan Monsopiad telah membuatkan beliau bongkak dan lupa diri memandangkan tiada seorang penjahat pun yang tidak berjaya ditewaskannya. Ini telah membawa kepada Monsopiad mula mencabar lelaki di kampungnya agar bergaduh/berlawan dengan beliau agar beliau boleh memotong kepala mereka dan menggantung tenggorak di atap rumahnya. Ini telah menyebabkan para pahlawan dan orang kampung tiada pilihan selian daripada untuk menghapuskan Monsopiad. Pada suatu hari, mereka telah bersatu untuk membunuh Monsopiad ketika beliau sedang berehat dirumahnya. Meskipun Monsopiad telah melawan mereka tanpa rasa takut, tetapi dia kehilangan kuasa istimewanya akibat sikapnya yang telah bongkak dan lupa diri dan menyalah gunakan kuasa. Akhirnya Monsopiad berjaya di bunuh malam tersebut.


Meskipun begitu, masyarakat Kampung Kuai masih mengenang jasa Monsopiad. Mereka telah mengumpul kesemua 42 tengkorak penjahat yang telah dibunuh Monsopiad dan membina sebuah tugu untuk mengenang beliau.


Itu antara serba sedikit lagendanya. Saya telah berkesempatan untuk meninjau Monsopiad Cultural village (MCV) yang telah diusahakan oleh Generasi ke-6 & ke-7 Monsopiad di KK untuk melihat dan merasai sendiri lagenda ini. Jarak MCV dari KK ialah lebih kurang 25 minit dengan pemanduan biasa. MCV ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Sungai Penampang (Sungai Moyong). Jika kita dapat meluangkan masa di antara 2 - 3 jam di sini, kita boleh mempelajari serba sedikit mengenai kebudayaan Kadazandusun.


Apa yang menarik di sini? Antaranya ialah tapai beras, jambatan gantung, aktiviti menyumpit dan melastik, persembahan gong dan the 'House of Skull' @ Siou Do Mohoing letaknya di seberang jalan di hadapan MCV. Di sini ada dipamerkan 42 tengkorak (seperti yang diceritakan di atas), tulang kaki dan pedang sepanjang 3 kaki yang dipercayai digunakan oleh Monsopiad satu ketika dahulu. Antara artifak lain yang dipamerkan ialah bekas, perhiasan, tidung, sirang, pakaian dan lain-lain lagi.


Tiket Masuk agak mahal iaitu RM45 termasuk 'welcome drink', persembahan tarian kebudayaan (antaranya Sumazau), lawatan berpandu dan sumpit & lastik. Antara peristiwa menarik yang saya dan Lisa alami ialah kami hampir sesat mencari lokasi MCV meskipun telah berada di kawasan yang betul dek kerana kurangnya papan tanda. Sesudah persembahan pula, tiba-taba sahaja hujan mencurah dari langit. Lawatan berpandu yang kami jalani menggunakan payung di bawah hujan. Saya mencuba tarian buluh meskipun sekejap sahaja. Akhir kata... bukankah indah Cuti-cuti Malaysia, semuanya ada di sini.

No comments: