Showing posts with label Teater. Show all posts
Showing posts with label Teater. Show all posts

Sunday, August 25, 2013

Amanat Kebayan Marimba

Barisan pelakon kanak-kanak bersama pengarah Geehan Kadir yang menjayakan Teater Bangsawan Amanat Kebayan Marimba semalam
Afiq Pilih Kasih 2 yang telah 'di interview' secara tidak rasmi oleh kami bertiga... sambil menikmati jamuan usai pementasan. Itulah menariknya jika membeli tiket premier !!!
Pujia-Pujian

Begitulah judulnya Teater Bangsawan Kanak-Kanak yang telah dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur semalam (pementasan sebenarnya telah bermula sejak jumaat malam lagi) oleh Grup Teater Artis Kreatif (GERAK) Kuala Lumpur. Bangsawan karya Roydy Rokidy dan di arahkan oleh Geehan Kadir ini menampilkan pelakon kanak-kanak yang saya kira amat berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan secara serius terutamanya Adik Muhammad Syareel Mustapah (Bagong), Adik Nor Farhana Izzati Kamaruzlan (Gergasi Kenit) & Adik Nor Aliah Mohd Nor Ilham (Gergasi Bagak). 

Namun begitu pujian harus diberikan kepada Afiq Pilih Kasih 2 yang telah berjaya menghidupkan suasana dan menyelamatkan keadaan dalam situasi tertentu dengan menanpilkan aksi mantap sebagai Tauke Panggung menskipun ini adalah penampilan sulong beliau dengan watak tersebut. Jenaka bersahaja, aksi lelucon dan daya kreativiti yang tinggi adalah aset utama untuk beliau bergerak dengan lebih maju di dalam industri hiburan tanah air. Syabas Afiq !!!

Sinopsis

Amanat Kebayan Marimba berkisar tentang lima orang kanak-kanak yang terdiri dari Putera Muda Azaldin, Demang & Bagong dari perguruan silat yang sama kemudian bertemu dengan adik beradik Tengku Zainal Alam dan Tengku Ratna Dewi yang kehilangan ayahanda dan bonda mereka. Lima sahabat ini kemudian mengembara mencari penyelesaian keatas malapetaka yang menimpa kedua negeri mereka yaitu kehilangan semua orang dewasa secara tiba-tiba. 

Tengku Ratna Dewi kemudian memberitahu sahabat-sahabatnya yang keadaan meruncing tersebut adalah angkara Gergasi 3 Beradik iaitu Gergasi Bagak, Gergasi Kerempeng dan Gergasi Kenit yang sebenarnya telah menculik semua orang dewasa untuk dijadikan makanan mereka. Dalam kembara yang sama, mereka juga telah berjaya menyelamatkan Kebayan Marimba yang dahulunya adalah penjaga kepada ketiga-tiga gergasi tadi yang mana telah dikhianati oleh gergasi tiga beradik tadi. Kebayan Rimba akhirnya telah memberikan amanat kepada kanak-kanak lima sahabat tadi bagaimana untuk menamatkan riwayat ketiga-tiga gergasi tadi. Akhirnya semua gergasi dapat ditewaskan dengan menggunakan buluh runcing yang ditusuk di telapak kaki.

Seperti biasa, dalam kebanyakan Bangsawan babak terakhir tentulah di balai rongsri istana di mana tentunya baginda sultan akan membuat perkhabaran gembira. Jika ingin tahu apakah perkhabaran tersebut, anda masih sempat lagi menyaksikan pementasan terakhir malam ini.

Sebelum saya terlupa, pujian juga haris diberikan kepada kareografer untuk tarian Sri Taulang Tiga yang menampil gerak tari yang amat mengasyikan. Begitu juga dengan gandungan 'Saiful and The Gang' yang menampilkan 'set dan props' yang saya kira amat menakjubkan jika di bandingkan dengan teater bangsawan yang saya tonton sebelum ini di pentas yang sama.

Maklum Balas untuk JKKN dan Panggung Bandaraya dan Produksi 

  • Sila atasi masalah pembesar suara untuk pementasan malam ini. Tauke Panggung perlu diberi 'clip mike'. Pasangan Penyanyi 'Extra Turn' yang pertama juga mengalami masalah pembesar suara tidak berfungsi.                                                                  
  • Saya cadangkan agar sediakan surau untuk pengunjung menyempurnakan Solat Maghrib (mahupun Solat Asar jika datang awal untuk memeriahkan Bazaar Seni); jauh juga kami hendak manapak ke Masjid Jame' Kuala Lumpur untuk menunaikan ibadah.


Sunday, November 25, 2012

Tattoo Gestapo !!!






Nota Jase :
Sebuah teater yang amat dinanti-nati dengan naskhah tentang pengkhianatan, kematian dan kemaafan. Skrip yang amat rapi dan lakona yang amat mantap terutamanya oleh Pekin dan Benjy. Esok masih ada satu lasi sesi pementasan jika berminat. Lokasi teater ini ialah di FreeSpace @ KakiSeni - SStwo Mall, Petaling Jaya.

Akhirnya setelah sekian lama dapat juga saya berjumpa dengan Pekin untuk mendapatkan tanda tangan beliau pada biografi beliau "Memoir Bukan Memoir" dan menyatakan ucapan tahniah kepada beliau atas kemantapan lakonan beliau dalam "Bunohan". Untuk rekod; "Bunohan" sekarang ini telah masuk dalam senarai pendek 50 terbaik untuk Filem Asing Tebaik Anugerah Academy. Kita tunggu saja perkembangan lanjut Januari depan.

Sunday, April 24, 2011

LKBSM !!!























Akhir bulan lalu saya, Lisa, Mas, Anis, Nizam & Janna telah berkesempatan menonton Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (jetika itu sebenarnya penat mendaki Gunung Kinabalu belum surut lagi...:)))). Bagi saya ia sebuah produksi yang menghiburkan dan menarik. meskipun bukan di tahap sempurna namun saya kira Hans & Harith tentu saja akan memperkukukhkan lagi Muzikal ini untuk musim kedua. Awie, Daughlas Lim, Omar Abdullah dan sandra Soothi telah menunjukkan lakonan yang amat berkesan. Saya cuma mempunyai masalah dengan pelakon cilik yang mememegang watak Lat. Mengikut fahaman saya, jika seseorang kanak-kanak itu dipanggil dengan nama 'Lat' atau Bulat, tentulah dia memiliki badan yang berisi @ comel ketika itu. Lakonannya mantap cuma saiz badannya terlalu 'keding'.

Saya kira, jika ada Musim Kedua, saya akan cuba melapangkan masa lagi.... InsyaAllah.



Tuesday, March 9, 2010

Seputar Antara...


'Poster Antara... Ada dua versi. Satu gambar semua penyanyi, dan satu lagi gambar Fahrin Ahmad & Nasha Aziz. Saya memilih yang semuanya gambar penyanyi. Harga cuma RM5sekeping. Selalunya pementasan di IB akan menerbitkan buku program. saya kira mungkin Pementasan Antara... ini kekurangan penaja sebab itulah cuma ada poster kecil sahaja. Namun begitu, untuk bergambar dan mendapatkan tanda tangan artis terlibat memerlukan kita membeli poster tersebut'.


'Di akhir persembahan dimana hampir semua penonton memberikan 'Standing Oviation' untuk semua yang terlibat baik penyanyi, pelakon, tenaga kerja dan penari. Puas dan terharu berbaur sedih juga. Penuh keinsafan yang mendalam'.


'Sempat saya mendapatkan Azizah Mahzan yang memegang watak salah seorang daripada dua pencerita (satu watak lagi dipegang oleh Kak Erma sendiri). Beliau masih belum menanggalkan busana lakonannya'.


'Nasib baik sempat merakam kenangan bersama Azlan & The Typewriter dan Abang Hattan. Saya amat terhibur dengan dendangan Hattan untuk lagu Di Balik Cermin Mimpi dan Azlan untuk lagu Arjuna & Meniti Titian Usang. Puas jugalah mereka berdua "melalak" - Azlan dengan 4 buah lagu sementara Hattan dengan 3 buah lagu. Macam mini konsert mereka lagaknya'.


'Ziana pula malam tersebut tampil dengan mendendangkan dua buah lagu daripada Datuk Siti Nurhaliza (daripada album kerohanian beliau). Kak Ziana menyanyikan dengan cara tersendiri, mungkin ada yang tidak sedar lagu-lagu tersebut dari Siti'.


'Antara yang paling ramai peminat malam tersebut tentulah Fahrin Ahmad. Dengar cerita malam tersebut fahrin juga menaja 4 tiket untuk keluarga Datuk Dr Fadhilah Kamsah. Betul ke? Baik betul Fahrin ni ye? ketika semua artis telah ke lokasi jamuan/sidang akhbar; kelihatan Fahrin masih lagi sibuk melayan peminatnya.'


'Yang paling mewarnai pementasan Antara... pada malam tersebut tentulah Azhan hani yang memegang watak Iblis. Memang hebat betul lakonan penggiat teater yang kurang terkenal ini. harap selepas ini beliau akan terus mewarnai persada teater tanah air hendaknya.'


Adik Iqwal yang rambutnya makin panjang ni... memulakan persembahan nyanyian untuk Teater Antara. Cuma satu lagu. Sudah tentu tak puas. Iqwal mendendangkan lagu M. Nasir yang saya lupa akan tajuknya. Saya bangga dengan Iqwal yang berjaya menjadikan lagu tersebut seperti lagu beliau sendiri. Sehari sebelumnya Iqwal telah melancarkan album 1Malaysia beliau di Laman Santai IB. Saya tidak dapat turut serta maka pada malam terakhir Antara... saya mengambil peluang untuk bertemu Iqwal lagi lantas mendapatkan CD teresebut (oopss... nati saya cerita panjang ya)'.


'Alamak... Abang ni memang saya tak ingat nama beliau. Tetapi sesungguhnya kita biasa nampak beliau di kaca TV. Beliau adalah pelakon yang mula-muala muncul di khalayak di dalam Antara... Lagi seorang yang berjawa membawa watak dengan baik sekali'


'Sempat lagi Nasha Aziz, Fahrin & Azhan menandatangi tiket saya pada malam itu. Lagipun saya tidak membeli poster mereka kan...'

Antara...


Saya menonton Teater ANTARA... pada malam terakhir ia dipentaskan iaitu pada 28 Februari 2010 di Panggung Sari, Istana Budaya. Nasib baik berjaya juga mencuri waktu untuk menonton. Saya kira ini mungkin kali keempat saya menonton hasil karya Kak Erma Fatima untuk naskhah-naskhah beliau sempena Sambutan Maulidur Rasul untuk Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Naskhah kali ini lebih kepada Teater Muzikal dengan membariskan ramai penyanyi tersohor seperti Jamal Abdillah, Hattan dan Ziana Zain. Tidak lupa juga kepada Azlan & The Typewritter dan Adik Iqwal kita. Secara keseluruhan saya memberi 4 Bintang kepada pementasan ini. Skrip yang kemas. Pementasan yang penuh impak. Dendangan Iqwal, Jamal, Azlan & Hattan juga menakjubkan. Lakona Azhan Hani amat mantap sekali. Begitu juga dengan Azizah Mahzan & Kak Erma sendiri. Niat di hati ingin 'upload' gambar-gamabr yang di ambil. InsyaAllah esok jika sempat ya...:)

Tuesday, December 8, 2009

Cinta, Perjuangan & Air Mata


Sekalung Tahniah saya berikan kepada Kak Erma (yang sekali lagi saja-saja menukarkan nama beliau kepada Eirma Fatima) yang telah bertindak sebagai pengarah dan mementaskan Natrah kepada peminat teater Tanah Air. Satu usaha murni. Satu usaha yang amat berani. Saya telah berkesempatan menonton Teater Natrah bersama Lisa, Mas & Oxford pada 2 Disember 2009 yang lalu. Meskipun tiada 'Standing Oviation' yang diberikan oleh penonton usai persembahan tamat tetapi teater ini sebenarnya adalah sebuah teater yang melepasi dua garis penetu utama iaitu berkualiti dan menghiburkan. (Saya kira Mas & Oxford juga berpuas hati dengan pementasan ini)

Mula-mula dahulu kita panik seketika akibat isu penarikan diri Diana Danielle kerana soal bayaran. Mungkin rahmat di sebalik musibah kerana kehadiran Maya Karin sebenarnya adalah lebih berhasil kerana pada pendapat saya, lakonan Maya adalah lebih mantap dan memberi impak. Semasa Maya melakonkan watak Maya sebagai 'budak sekolah' ia nampak betul-betul muda !!! Secara kolektif semua pelakon utama memberikan lakonan yang memberansangkan. Tetapi Che Aminah yang di dokong oleh Umie Aida adalah yang terbaik. Ini diikuti oleh Samantha Schubert (Adeline Hertogh), Sofea Jane (Natrah - 70 tahun) dan Maya Karin (Natrah). Lakonan Remy Ishak sebagai Mansor Adabi bukan tidak bagus cuma sebagai pelakon baru di pentas teater saya kira beliau perlu lebih banyak belajar. Paling terasa kekurangan ialah semasa monolong Mansor Adabi. "Feel" tak cukuplah Remy. (Semoga kes Remy dipukul Sabtu lalu tidak menjejaskan lagi penumpuan dan keberkesanan lakonan beliau demi menghabiskan baki pementasan).

Sesuai dengan temanya "Cinta, Perjuangan & Air Mata"; menonton teater ini adalah seperti kisah ini di bahgaikan kepada tiga elemen yang mengajak kita berfikir. Elemen kasih sayang antara Natrah dengan ibu angkat yang menjaganya, Che Aminah dan tentang perebutan kasih sayang dengan ibu kandungnya. Ianya juga bercerita tentang perjuangan, kesatuan dan penyatuan umat melayu ketika itu apabila agama dan bangsa mereka diperkotak-katik. Dan sesunggunnya mahu atau tidak, air mata pasti mengalir (meskipun graf penmgaliran air mata adalah sedikit kurang jika dibandingkan dengan Muzikal Sirah Rasulullah yang juga arahan Erma Fatima).(Apabila menulis tentang Natrah saya juga akan teringatkan Filem Jasmin (yang di angkat daripada kisah yang sama) arahan Tan Sri Kamarul Ariffin pada tahun 1984. Bagaimana untuk mendapatkan salinan DVD/VCD filem ini?)

Kisah ini sebenarnya telah menjadi lipatan sejarah yang dikongsi oleh Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak 59 tahun yang lampau. Mahu atau tidak ia akan terus berbekas di hati kita. Lebih-lebih lagi Natrah @ Bertha Hertogh baru sahaja meninggal dunia pada usia 72 tahun bulan Julai lalu. (Putihnya jiwa Natrah kerana di akhir hayatnya beliau telah mewasiatkan agak jasadnya toidak ditanam tetapi diserahkan kepada saintis untuk membuat kajian saintifik)

Saya berpendapat plot Teater Natrah kali ini mengambil jalan tengah dengan tidak menuding jari kepada mana pihak dan memusatkan kepada persoalan cinta yang amat berat. Kita juga disorot dengan kisah cinta Mansor Adabi dan Natrah dengan sedikit elemen Bollywood dengan mengambil sedikit 'score' daripada salah satu lagu yang menghiasi teater ini. Cinta ini mekar dalam acuan bollywood jelas kelihatan apabila Mansor dan Ntrah usai diijabkabulkan. Cinta Mansor Adabi dan Natrah mungkin pantas tetapi di bawa sehingga akhir hayat. Di dalam teater ia cuma berlaku dalam tiga babak !!! Tetapi amat berkesan sekali. Tak sangka juga Remy dan Maya ada 'chemistry' juga sebagai pasangan kekasih !!!

Babak lain yang menarik dan amat menyentuh hati ialah monolog Che Aminah & Adeline di selang seli dengan Natrah yang sama mengungkai pengertian kasih sayang dan hak masing-masing sementara Natrah yang naif yang inginkan kasih sayang yang dirasainya ketika itu dan terus bersama orang yang amat di sayanginya iaitu Che Aminah & Mansor. Monolog ini boleh diibaratkan seperti perang tiga penjuru.

Monolog Natrah 70 tahun di awal dan akhir juga amat berbekas. Sofea Jane dengan telor 'Mat Saleh'nya berjaya menambat hati saya. Ayat beliau "Aku seperti pemburu yang diburu haiwan buruanku" membuatkan kita terfikir akan azab dan sengsara yang di alami oleh Natrah tidak selesai-selesai hingga hujung nyawa beliau.

Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana berpeluang menonton teater ini meskipun bukanlah sampai ke tahap 'Bravo'!!!

Pementasan Natrah akan diteruskan sehingga 13 Disember 2009; jadual asal sehingga 9 Disember 2009 sahaja. Jadi yang belum menonton masih berpeluang untuk turut serta. Tempahan boleh di buat di 03-41498600/03-40265588. Ataupun boleh juga
klik di sini.

Saturday, November 14, 2009

Jom Natrah


Natrah adalah antara Teater yang saya tunggu-tunggu. Selain daripada ramai bintang yang turut berlakon seperti Sofea Jane, Umie Aida, Maya Karin & Remy Ishak. Ini juga merupakan hasil buah tangan Erma (Eirma) Fatima. Akan mula di pentaskan pada 30 November - 9 Disember 2009 di Panggung Sari, Istana Budaya. Mungkin kita boleh sama-sama serbu IB pada 5/12/2009. Jom !!!

Saturday, November 7, 2009

The CUCI Boys of Malaya !!!





It's only one word can describe CUCI The Musical. It is AWESOME !!! I meant it truly from the heart. I wish I could watch it again for the second time. For those who has not bought the tickets yet.. Just rush to IB for today's and tommorow's show. You won't regret it. Bravo Hans & his team !!!

Monday, July 13, 2009

Terasa Puas Menonton "Intan Yang Tercanai"...


Buku Program yang diberi percuma dengan pembelian tiket. Kualiti yang baik. Boleh di simpan buat kenang-kenangan. tambahan pula jika telah di tandatangani oleh Pengarah - A wahab Hamzah, Arwin, Geetha & Kak Ogy.


Memandangakan Teater ini tidak menetapkan kedudukan kerusi jadi jika ingin menonton dengan lebih selesa perlulah beratur dengan lebih awal untuk mendapat kerusi di hadapan di dalam balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Dan saya dan Lisa sudah pasti duduk di hadapan. Tiket agak mahal, tetapi ilmu yang di dapati daripada teater ini tidak ternilai !!! Terima Kasih kepada Naskhah Nipis Sasterawan Negara Noordin Hassan yang diterjemahkan dengan baik sekali oleh A Wahab Hamzah.

Sesekali ku rasa teringin bergambar dengan 'bunting' IyT.... Hahaha

Ini adalah satu revolusi teater saya kira. Pentas IyT yang sekali pandang seperti pentas Cat walk bagi para peragawan & peragawati meragakan pakaian sebenarnya adalah menifestasi kepada perjalanan di Terowong Al-Mu'aysam. Mungkin juga perjalanan menuju kehidupan. Pentas sebegini juga membuatkan penonton terasa dekat dengan pelakon.



Seperti biasa kami memang tidak dibenarkan mengambil gambar ketika pementasan. Nak mencuri-curi mengambil gambarpun saya tidak mapu kerana saya dan Lisa menduduki barisan paling hadapan sekali. Cuma masa memperkenalkan pelakon sahaja saya sempat snap !!! (Lihatlah busana Lembaga I, II & III - Adakah ia mengingatkan anda kepada sebuah cerita klasik? "Tepuk Dahi, tanya Diri Sendiri".)


Kak Ogy memegang watak Lembaga Suci III yang merupakan watak kiasan yang memulakan langkah bantuan kepada Danial untuk mencari Anis. Tiada apa yang boleh diperkatakan mengenai Kak Ogy, Juhara & Norzizi kerana mereka semua adalah Sifu Teater. Dan pengambilan mereka memegang watak Lembaga Suci I, II & III adalah TEPAT sekali. Terpegun saya. Terkesima pun ada akan bait-bait lontaran patah-patah kata yang dikeluarkan mereka.


Sempat lagi saya bergambar dengan Arwin ataupun yang lebih dikenali sebagai Danial. Arwin merupakan pelakon utama IyT. Malangnya pada malam persembahan terakhir saya menonton watak Danial telah digantikan oleh pelakon 'understudy' iaitu Mohamad Rafiq Abdul Rahman. Kata Arwin sepatutnya malam semalam Rafiq menggantikan beliau tetapi dek kerana famili Arwin datang menonton pada hari Sabtu jadi perubahan perlu berlaku. Apa-apapun lakonan Rafiq masih boleh dibanggakan. Dan Arwin, saya kira memang berbakat besar. Bahasa Melayu Arwin juga fasih tambahan pula seorang yang merendah diri, tentu saja mudah disenangi.

Geetha memegang watak Sandha Sundaram. Mengikut ceritanya ini merupakan Teater Melayu pertama lakonan Geetha meskipun beliau telah banyak berlakon di dalam Drama melayu di kaca TV. Lakonan Geetha malam tadi berada di tahap yang boleh dibanggakan. Apa momen-momen indah meskipun saya kira masih ada kecacatan/terlupa skrip barangkali. Itupun mungkin cuma di sedari jika kita benar-benar amati. Dialog Sandha bersama Danial ketika membongkar kisah kematian Makcik Yong Sutinah adalah momen beliau.


Sinopsis :
Drama ini mengangkat keperibadian murni seorang gadis bernama Ungku Intan Anis. Sejak kecil beliau bersahabat baik dengan Danial A/L Dr Sundaram dan adiknya Sandha A/P Dr Sundaram sehinggalah dewasa dimana mereka menjejakkan kaki di menara gading di United Kingdom. Danial ank muda yang mencari, ketika menuntut beliau belajar tentang perbandingan & psikologi agama. Satu ketika, di saat Danial perlu mengangkat kavadi demi memenuhi kehendak ibunya, Anis turut datang bersama-sama. Anis yang berperibadi mulia juga sanggup membuat kerja-kerja sosial sehingga di Guatemala & Afrika. Keperibadian ini sesunguhnya telah membuat hati Danial terpaut. Dalam usia muda, Ungku Anis telah berangkat ke Mekah menunaikan haji bersama abang dan kakak iparnya. Malang tidak berbau kerana sesungguhnya Anis telah hilang dalam peristiwa Terowong Al-Mu'aysam yang telah mengorbankan 1426 nyawa jemaah haji yang pergi dan pulang dari melontar. Kehilangan Anis telah membawa sahabatnya Danial untuk menjejaki Anis di Mekah. Dalam pencarian murni tersebut Danial telah dipertemukan dengan Haji Fadzil yang memberikan beliau maklumat tentang Anis yang pernah dibantu beliau ketika tenat di dalam terowong Al-Mu'aysam tersebut. Lantas Haji Fadzil kemudiannya menyoroti Danial menuju Gua Hira' di mana Danial mengejar imej Anis hingga ke hujung.

Nota Jase :
Ini merupakan teater berat. Teater berat yang perlu ditonton dengan serius. Teater berat, teater fitrah. Namun begitu ia amat menghiburkan keran saya tidak perlu melihat jam untuk menunggu habis kerana pabila berada di klimaks saya merasa puas. Pujian juga perlu di beri kepada lagu tema yang amat sedap di dengar. Para pelakon semuanya dapat mewarnai watak dengan cantik sekali. Memang wajar di nobatkan senagai Teater Perdana.

Terasa diri kerdil dan insaf ketika menonton Teater berat ini. Teater yang mengupas isu kemanusiaan dalam halus dengan berbagai lapisan yang perlu penelitian untuk ditafsirkan. Sesungguhnya drama ini mengangkat nilai kemanusiaan ketika di uji dengan berbagai musibah. Sanggupkah kita? Lantaran itu saya pun terfikir.... "Jika Mustahil Pada Tersurat, Carilah Pula Apa Tersirat". Mampukah saya?

Wednesday, April 22, 2009

220409 = 10 X 8


Bahagian Pengembangan Sastera DBP buat julung-julung kalinya menganjurkan Festival Drama 10 Minit. Dengarnya festival ini bertujuan untuk menarik minta karyawan drama muda dan baharu untuk menghasilkan drama pendek yang berkualiti kantaran menjadikan DBP & Stor Teater DBP sebagai wadah kegiatan penggiat teater/drama tanah air. Di malam pembukaan ini saya dan Lisa telah bergegas ke Stor Teater DBP. Kami agak terlewat 5 minit kerana ketika memasuki ruang teater, drama Mico Yo-yo yang menghidangkan durian Gred 24 telah bemula. Drama arahan Dr Wong Oi Min dari Aswara ini antara lain mengisahkan mangsa buli yang tidak pernah membalas perbuatan rakan-rakannya. Namun begitu satu peristiwa yang terjadi yang kemudia telah mengubah perhubungan mereka... Jika berminat; pementasa bermula jam 8.00 malam. Tiket masuk dengan membeli brosur berharga RM10.00... murahkan?



Kotak Hari Jadi arahan Noor Hasnah Adam & Wan Hadad dengan tiga orang pelakon agak rumit. Parodi hari jadi yang mengisahkan tentang hadiah hari jadi mengupas soal kelahiran dan tujuan kehidupan. Anak-anak kecil telah di arahkan oleh datuk mereka untuk menvcari kotak yang penuh misteri.


Amir Amar pula agak 18SX. Pementasan dari Kumpulan ASWARA ini di arahkan oleh Amar Asyraf Zailuddin. Cerita mengenai pasangan kekasih terlarang ini terlalu posesif hinggakan membawa kepada pembunuhan. Namun gerakan pemegang watak ini menarik minat saya. kreatif dan penuh dengan nilai astetika yang tinggi.



Kencing Peluh. Sinis adan lucu. Meskipun boleh di jangka epilognya tetapi ia dipersembahkan dengan penuh gaya dan dramatik Bayangkan dengan hanya satu panggilan telefon; penipuan dan kekecohan berlaku demi wang ringgit. Situasi temuduga penuh dengan tipu muslihat !! Syabas kepada para pelakon.


Bagi saya ini merupakan drama yang paling tiada tarikan. Di tambah pula dengan simpton lupa dialog yang begitu ketara bagi kedua-dua watak. Drama Peristiwa Malam Itu ini adalah daripada Kumpulan Teater Badan Budaya DBP. Ceritanya pula berkisar kepada kisah seorang anggota polis menjejaki seorang penjenayah yang sedang bersembunyi di atas bumbung sebuah restoran. Boring kan?





Ini lagi satu Drama 18SX/SG. Isteriku Tiada Susu ini adalah daripada Kumpulan UiTM. Secara ringkasnya ia mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang lenanya diganggu oleh teriakan anak mereka. Konflik berlaku kerana masing-masing tidak mahu bangun memberikan susu. Berkisahkan tentang eskapism dan solution yang pengakhirannya tentang ugutan membunuh anak tersebut. Saya kurang pasti jika ada yang mesej tersirat dari drama ini. Tapi amat kejam !!!


Jika diukur dari gemuruhnya tepukan... Drama ini wajar menduduki tempat pertama. Apabila Ilham Menjelma adalah sebuah drama yang amat mudah. A. Nasir adalah seorang pencipta lagu yang kebuntuan idea. Lia adalah kekasihnya yang sering di abaikan dek kerana masih mencari ilham buat hantaran pernikahan. Begitu lelucon kerana A. Nasir asyik menulis lirik hasil daripada kekecohan diantara beliau dengan Lia sambil di bantu oleh orang tua yang cuma taghu menulis jawi !!!


Slot terakhir diisi oleh Drama Dalang dari Kumpulan Teater Nun yang mengisahkan Nurul Asyikin seorang lepasan universiti yang ingin menjadi Tok dalang Wanita. Beliau telah bertemu dengan Tok Dalang yang ragu-ragu akan keluruhan hatinya untuk mempelajari ilmu pendalangan.


Nota Jase (lagi) : Festival Drama 10 Minit ini akan tamat pada 25 April 2009. Ada masa lagi untuk menonton. Secara keseluruhan sebanyak 16 Naskhah akan dipentaskan. Jangan begitu menaruh harapan yang tinggi. Ini bukan produksi PGL The Muzikal !!! Konsepnya amat mudah, durasi drama cuma 10 minit sahaja. Ini merupakan persembahan TEATER, jangan risau kerana ia bukan MONODRAMA. Set dan propnya amat ringkas, mudah, murah dan peralihan props cuma mengambil masa yang amat-amat singkat !!!

Monday, April 20, 2009

Jom Teater !!!



Bermula dari 21 - 25 April ini.... ESOK laaa.... DBP akan menganjurkan Festival Drama 10 Minit. Hantu Teater ??? Boleh dikatakan juga; meskipun sebenarnya saya memang tidak pernah menggiatkan diri dengan teater hatta sejak dari bangku sekolah sehinggalah menamatkan pengajian di menara gading. Suka menonton sahaja sebenarnya... kiranya lagi tersirat teater itu lagilah suka saya menontonnya. Sebanyak 8 naskhah teater akan di pentaskan setiap malam bermula dari jam 8.30 malam di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur. Ada beberapa nama besar yang terlibat; antaranya U-Wei Haji Saari dengan naskhah KUTIPAN, Hello ! Nama Saya pula oleh Norzizi Zulkifli dan gandingan Amar Asyraf Zailuddin & Marlia Musa akan mementaskan Amir Amar. Belum lagi memutuskan bila saya akan menonton... pokoknya perlu berbincang dengan Lisa dahulu. OK... ini makluman sahaja... Kalau berminat apa lagi... Derapkan langkahmu !!!

Monday, March 2, 2009

Sirah Junjungan - Tahajud Cinta


Persembahan Teater Muzikal " Sirah Junjungan - Tahajud Cinta" akan di pentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 9 - 22 Mac 2009 bermula jam 8.30 malam. Seperti tahun lalu, Teater Muzikal ini dipentaskan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul. Teater ini menampilkan para pelakon 'adi gelanggang teater' seperti Ahmad Yatim, Vanida Imran, Rosdeen Suboh dan Sahronizam Noor. Sebuah Karya Erma Fatima hasil produksi Yayasan Seni Karya prihatin Malaysia. Selain daripada itu ia juga menampilkan nama-nama besar persada seni suara tanah air seperti Jamal Abdillah (9-14 Mac 2009), Datuk Siti Nurhaliza (18 - 20 Mac 2009), Mawi (21 Mac 2009) dan Amy Search (22 Mac 2009). Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 boleh di dapati di Kaunter Box Office Istana Budaya. Cuba juga layari website ini.


Saya, Lisa, Cikgu Jah, Mus dan Cute telahpun mendapatkan tiket kami. Sudah terang lagi bersuluh yang kami akan menonton pada 21 Mac 2009. Apa kata jom ramai-ramai kita penuhi Panggung Sari 21 Mac 2009 ini. Ayuh... Derapkan Langkah Kakimu !!! Slogan saya : "...Berhibur Sambil Menginsafi Diri. Sirah Rasulullah SAW Memang Tiada Tolok Bandingnya..."

Wednesday, November 12, 2008

Muzikal Impak Maksima dari Kacamata Saya




Apa kaitan Datuk Siti dengan Muzikal Impak Maksima? Jawabannya mudah sahaja; Datuk Siti dan saya sama-sama menonton muzikal teater ini pada hari pembukaannya iaitu 11 November 2008 di Istana Budaya. Jadi ini adalah alasan paling masuk akal untuk saya bergambar (gambar ini di ambil sebelum persembahan di mulakan di Cafe Istana Budaya) dengan Datuk Siti setelah gagal dalam percubaan ketika di Anugerah Skrin di mana beliau bergegas pulang usai menyanyikan lagu Wanita (Jawaban kepada lagu Lelaki Ini - Anuar Zain, kiranya). Selain daripada itu, Datuk K @ DK adalah watak utama di dalam teater muzikal ini. Aduuuuh !!!














Antara sebab utama saya menonton teater muzikal ini adalah kerana sahabat saya ini. Beliau bukan sahaja mondokong watak utama @ DK @ Drift King tetapi juga menjadi Penagrah Artistik bagi produksi ini. Siapa lagi kalau bukan Zulhuzaimy Marzuki yang saya kenal ketika di 'zaman teater' beliau sebelum namanya memuncak dek kerana lakonan mantap dalam Remp-It! Itulah Zulhuzaimy yang saya kenal. Dari sudut lakonan, dalam produksi ini Zul kelihatan berada di dalam liganya yang tersendiri. Lakonan Zul bukan sahaja tidak mengecewakan malah membanggakan. Antara babak yang 'mencarikkan' hati saya ialah ketika saat kematian DK. Jika perasan, ada ketika nafas DK kuat seperti memang dalam keresahan, kemarahan dan kesakitan. Dari gerak tubuh pula, kita memang boleh nampak kesan lakonan yang hebat ketika mood berubah dan nada suara yang berbeza ketika diungkapkan. Tapi... Kenapa mesti dimatikan watak DK sedangkan Ray lebih jahat. Apapun, DK sempat bertaubat. selain daripada itu, saya benar-benar tidak tahu yang beliau booleh menari dengan baik (hmm.... mungkin antara calon yang baik untuk Sehati Berdansa Musim 3 - Boleh Zul?) malahan suara Zul juga boleh tahan ketika melontarkan suara untuk babak yang memerlukan beliau menyanyi. Komentar terakhir... saya perasan jeans & track bottom yang di pakai oleh Zulhuzaimy agak longgar. Adakah ini disengajakan?



Saya datang menonton setelah mebaca review yang kurang memberangsangkan oleh beberapa akhbar tempatan. Jadi antara langkah wajar yang saya ambil ialah memastikan saya mendengar bait-bait lagu dengan teliti memandangkan dialog cuma 10 - 15 % sahaja selain daripada itu pemahaman kepada cerita adalah berdasarkan kepada pemahaman lirik lagu. Jika tidak kita akan tenggelam seolah-olah menyaksikan sebuah persembahan konsert ala-ala Mekar Sejambak (TV1 sekitar tahun 80an).



Muzikal ini juga diselamatkan dengan penampilan dua penyanyi hebat iaitu Dina Malaysian Idol & Adeeb of The Fabulous Cat. Nyanyian mereka superb !!! Saya benar-benar tak sangkan suara Adeep sebenarnya lebih merdu di dengar secara 'live' dan Dina memang tidak perlu disangkal lagi. Lakonan Adeep & Dina juga 'above the par' dan meninggalkan kesan nyata. Dengan peranan yang agak besar juga, gandingan mereka berdua menambahkan rempah kepada persembahan ini. Ini ditambah pula dengan skor muzik Cat Farish yang hebat. saya kira ada beberapa lagu yang boleh dijadikan single untuk diputarkan di radio. Hmm... Saya tak pasti samada Ahmad Idham akan melahirkan Runut Bunyi untuk teater ini. Kalau ada saya pasti akan membeli CD tersebut.



Lakonan Zed Zaidi & Dynas saya kira mereka ditenggelamkan oleh watak yang tidak dikembangkan dengan baik. Zarina pula, bagi saya membanggakan. Percintaan di antara DK (Zulhuzaimy) dan Ika (Zarina) nampak natural, seperti ada keserasian.



Oopps... terlupa saya... ramai yang menantikan aksi drift yang hebat. Babak mula sebenarnya memang mengkagumkan. Wow !!! Di luar jangkaan saya. Babak akhir juga hebat. memberi impak sebagai epilog yang hebat. Tetapi kalau kita menjangkakan yang aksi drift akan berlaku seperti di dalam filem, sudah tentu akan kecewa. Apa-apapun TABIK SPINGG untuk Ahmad Idham.













Muzik yang baik.... dilengkapi pula dengan tarian yang cantik di pandang mata. Gabungan tarian hip-hop, street dance dan asli menambahkan lagi warna warni teater muzikal ini. Tahniah harus di berikan kepada Belalang - Pengarah Tari (salah seorang Kareografer yang bertanding dalam Sehati Berdansa Musim Kedua). Apa-apa pun saya memang suka tengok tarian hip-hop oleh Bro Ali (gambar kat atas tuu - salah seorang daripada kareografer untuk Gang Starz Musim Kedua juga). Dia menari penuh dengan attitude !!! Tak percaya, jika ada kesempatan menonton - cuba lihat gelagat beliau.


Mesej penting yang saya ingin sampaikan ialah - Saya akan MENONTON KALI KEDUA. Jom ikut saya...