Sunday, November 16, 2008

Manisnya Cinta dalam WAYANG


Semasa saya menonton Filem WAYANG di GSC IOI Mall hari Jumaat lepas; cuma 6 orang sahaja di dalam panggung, termasuk Lisa dan saya. Sedih memang sedih tetapi saya berpuas hati kerana telah membuat keputusan yang tepat bukan sahaja untuk menyokong industri filem tanah air tetapi kerana telah memilih untuk sebuah filem yang amat, amat hebat untuk ditonton !!! Hebatnya filem ini bukan kerana ia berlatar belakangkan seni budaya tanah air iaitu wayang kulit tetapi diperkuatkan dengan skrip yang indah, jalan cerita yang dinamik, para pelakon yang mantap (ada lima pelakon yang berjaya mondokong watak dengan luar biasa sekali yakni melebihi kehendak perwatakan iaitu Eman Manan, Zul Huzaimy Marzuki, Ida Nerina, Wan Kenari dan Mas Muharni) di tambah pula dengan tema positif yang anjurkan dalam filem ini (redha pada kekurangan yang ada tanpa berhenti berusaha untuk meningkatkan kualiti diri). Rempah-ratus filem ini juga di kira lengkap dengan unsur-unsur drama, kesedihan, kegembiraan, lelucon dan spontan - apa yang penting ia menghiburkan meskipun durasi masanya agak panjang iaitu 1 jam 50 minit.

WAYANG sebenarnya adalah sebuah filem cinta yang berlatarkan kepada budaya tradisional persembahan wayang kulit yang menjadi kegiatan mereka yang tinggal di Kelantan. Betapa cantiknya apabila wayang kulit dijadikan nadi utama pada setiap watak disekeliling. Contohnya Pak Awang Lah adalah dalang wayang kulit tersohor menjadi tok guru kepada pemuda buta - Awi dan gadis sengau - Melor. Kehebatan Awang Lah sehinggakan beliau di jemput mengajar wayang kulit di UiTM. Dalam pada itu sepupu Awang Lah, tidak suka beliau bermain wayang kulit dan dalam masa yang sama ingin mengambil Melur menjadi isteri kedua dan membuat berbagai onar (membakar panggung Awang Lah, memfitnah Awang kepada isterinya dan juga mengganggu Awi). Cinta dalam WAYANG istimewa kerana masing-masing (Awi dan Melor) sukar untuk melafazkan cinta kerana bimbang ditolak dan terluka. 'Aku cinta padamu' jika dilafazkan oleh gadis sengau... 'buruk' bunyinya.

Saya tidak ingin memanjangkan lagi tulisan ini, apa yang pasti saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia menonton filem hebat ini. Saya amat berharap filem ini tidak terhenti dengan 2 anugerah sahaja di FFM 2008 yang baru lalu (Anugerah Khas Juri & Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Zulhuzaimy) tetapi boleh juga menuai beberapa lagi anugerah di KLIFF 2008, IFFI ke 39 dan Anugerah Skrin 2009 !!!

Kita tunggu sahaja keputusannya.


No comments: