Saturday, January 9, 2010

Jelajah Persada : Episod 1 (Taman Tasik Taiping)





Kami meninggalkan BRR lebih kurang jam 10.40 pagi. Meneruskan perjalanan menghabiskan sisa-sisa Lebuhraya Timur Barat (LTB) untuk menuju destinasi terakhir Jelajah Persada : Episod 1 ini iaitu Taiping. Meskipun begitu kami sebenarnya terpaksa melalui Gerik, Jalan Pedalaman Persekutuan Lenggong, (mungkin pinggiran Gunung Korbu, jalan berliku di kaki Banjaran Titiwangsa) dan Kamunting (tempah tahanan ISA) sebelum sampai di Taiping.

Tinggalan sejarah di LTB ialah Tugu Memperingati Perwira yang terkorban dek serangan komunis dari tahun 1970 - 82 semasa pembinaan lebuhraya ini. Sempat juga kami berhenti untuk mengambil gambar kenangan (dalam erti kata lain menghargai mereka mempertahankan persada tercinta ini).

Perjalanan seterusnya meluncur laju sahaja sambil menikmati keindahan Hutan Simpanan Gerik (yang pernah satu ketika dahulu menjadi kubu komunis) dari dalam kereta. Kami tiba di Pekan Gerik sekitar jam 11.30 pagi. Kami cuma berhenti di Stesen PETRONAS Gerik untuk saya meneruskan 'PSS Challange'. Saya juga teringatkan yang kali terakhir saya sampai di sini ialah beberapa tahun yang lalu ketika menghadiri Majlis Perkahwinan anak Cikgu Marzuki iaitu pelakon berkarisma hebat yang bakal muncul dengan Filem HAQ tidak lama lagi, siapa lagi kalau bukan Zulhuzaimy Marzuki. Dah lama saya tidak menghubungi Zul..:)

Meneruskan perjalanan... kami cuma berpandukan Papan Tanda. Tiba-tiba sahaja kereta yang dipandu Oxfor membelok ke sebelah kanan. Saya dan Lisa pula terlepas pandang akan papan tanda yang mengarahkan ke kanan jika ingin ke Taiping tanpa perlu melalui Lenggong & Kuala Kangsar. Perjalanan ini di kira amat mencabar kerana seringkali talian telefon tiada liputan, jalan penuh berliku dan sempit, tidak ada banyak kereta yang lalu lalang dari kedua-dua arah, sekurang-kurang 2 kejadian tanah runtuh dan kiri kanan adalah hutan hujan tropika. Sesekali Oxford akan memberhentikan kenderaan untuk Mas merakam pemandangan keindahan hutan, langit, pokok, jeram dan jambatan. Usai melewati dua buah majlis perkahwinan maka kami seperti masuk semula ke 'peradaban' apabila melalui jalan besar dan terpandang Papan Tanda Kamunting.

Makan Durian memang ada dalam congakan fikiran tetapi masih belum berjumpa dengan lokasi yang sesuai. Alhamdulillah, selesai saya menghabiskan 'PSS Challange' di Stesen PETRONAS Kamunting kami semua seperti akur untuk berhenti dan menikmati durian kampung di gerai yang bertentangan dengan stesen tersebut. Makan Tengah hari dengan 'lauk' durian? Sesuatu yang jarang dilakukan. Saya siap bawa tikar 'jerami-straw' tetapi tidak dapat digunakan kerana pemilik gerai membenarkan kami menikmati durian dan rambutan di 'pangkin' yang telah disediakan. Memang benar penduduk di Kamunting & taiping secara kasarnya bercakap dalam loghat yang hampir serupa dengan loghat utara (gabungan Kedah - Pulau Pinang).

Usai makan kami meneruskan perjalanan ke Taiping yang sudah semakin hampir. Dua tiga kali Oxford seperti kelihatan akan sesat tetapi sebenarnya ingin menunjukkan Mas dengan Stesen Keretapi Taiping !!! (lariiiiiiiiiiiiiiiiik). Di Taiping kami sebenarnya mempunyai 2 tujuan iaitu Bukit Larut & Taman Tasik Taiping. Namun dek kerana kehabisan tiket untuk naik ke puncak Bukit Larut kami cuma akur dengan menghabiskan masa berlegar-legar di kaki Bukit sahaja. Selain daripada itu kami juga singgah di Taman Peringatan Peperangan. Saya juga baru tersedar yang MRSM Taiping sebenarnya cuma sepelaung dari Taman Tasik Taiping & Bukit Larut !!!

Taman Tasik Taiping memang sungguh indah. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan keindahan taman tasik ini. Memori saya cuma dapat berpaut dengan pengalaman sekali cuma sampai di sini ketika masa kecil dahulu bersama keluarga. Antara yang saya ingat ialah Angah dan Along membuat ritual 'semayang siput' di jeram yang hampir sini. (Saya kira jeram tersebut ialah yang paling hampir dengan MRSM Taiping sekarang ini). Selain daripada itu memori saya adalah 'kosong'. Datang kembali di sini setelah beberapa dekad membuatkan saya terpegun dan terkesima seketika. Ya... sunggah indah Bumi Tuhan ini. Jika punya banyak masa tentu saja ingin menghabiskan seharian di sini, duduk di bangku batu dan memerhati. Tasik, pohon, kehijauan, kedamaian, kenangan, semuanya merangkum menjadi satu di Taman Tasik Taiping. Semoga pihak yang bertanggungjawab akan terus menjaga keindahan tasik ini. Untuk para pengunjung pula; yang berkelah 'ala-ala' orang barat, janganlah membuang sampah dan sisa makanan merata-rata.

Kami meninggalkan Taman Tasik Taiping kira-kira jam 4.15 petang dengan seribu kenangan dan keletihan bersulam keriangan. Ini adalah singgahan 'road trip' yang terakhir sebelum singgah di R & R Sungai Perak dan R & R Ulu Bernam untuk solat dan makan malam. Kami berpisah di R & R Ulu Bernam setelah semuanya kekenyangan dan Mas membeli Pau Yik Mun yang masyhur itu.

Mas yang sampai dahulu ke rumah kira-kira jam 10.30 malam. Kemudian diikuti saya dan Lisa sekitar jam 11.15 malam dan akhir sekali Oxford yang sampai seawal jam 12.00 tgh malam pada 21/12/2009 dengan menaiki Komuter.

Jelajah kali ini amat bermakna sekali kerana ia bukan sahaja pertama kali kami harungi perjalanan bersama dengan penuh toleransi dan faham-memahami; tetapi menjadi titik mula kepada sesuatu yang berharga. InsyaAllah akan berpanjangan, istiqamah gitu !!!

No comments: