Wednesday, December 31, 2008

Catatan 6 : Konvoi KL-FTA/Majlis Persandingan Raja & Ratu Jawa





Ada 78 imej dan setiap imej ada 'caption' istimewa dan tersendiri. Ini adalah peringatan saya. Jadi harap dapat menonton dengan penuh tabah, sabar dan berhati-hati.

Rakan kami yang terakhir sampai ialah Mus (Cute & SpiderX) dengan Spectranya yang cuma sampai kira-kira jam 8.00 pagi di FTA. Mereka bertolak kira-kira jam 3.00 pagi dari Kuala Lumpur. Begitu juga Lala (dan rakannya yang bekerja di kedutaan Indonesia?) yang juga tiba awal pagi 28/12/2008 setelah bermalam di Kulai. Sedang elok kami bersarapan iaitu Nasi Lemak dan Karipap beserta dengan kopi dan teh panas. Jadi sempatlah kami bersarapan bersama sambil membaca akhbar-akhbar melayu yang masing-masing heboh membicarakan soal majlis perkahwinan Mawi dan Ekin yang akan berlangsung hari ini.

Sepagian kami cuma sembang-sembang, makan-makan dan menonton tv. Tidak lupa juga ada yang masih sibuk meandatangani kad dan belakang potret hadiah. Kemudian Mus, Spiderx & Cute keluar kembali ke Pekan Kulai untuk membeli seluar baru dan ke salon mendandan. hebatkan? Sementara Kayriel, Rezza & Mawin keluar (ke mana entah) untuk mendapatkan 'ribbon'. Kesemua mereka cuma tiba kembali ke FTA kira-kira jam 12.00 untuk persiapan terakhir. Yang tinggal di 'rumah tumpangan' bergilir-gilir untuk bersiap.

Cerita tentang busana kami pula. Busana ker? Saya memilih untuk memakai baju batik jawa hadiah daripada seorang kawan dari tanah seberang. Kali pertama saya memakai sebenarnya setelah lebih setahun di simpan. Lisa pula memilih baju kurung pahang dengan menggunakan fabrik batik Kalimantan. Che Bedah sudah tentu baju kurung baru tempah yang serasi dengan rona warna pengantin iaitu 'silver' kelabu. Cikgu Jah pula sepersalinan baju kurung baru termasuk kasut baru tau! Mus dan Cute pula sedondon memilih warna biru (eh... keluarga Ekin ke mereka ini?). SpiderX baju batik ungu. Galzean kemeja British India (ahaks). Tapi yang paling glamer tentulah Umi... Baju kurung ungu bersalut kerawang manik 'merelit-merelap'. Waduh... Waduh...

Ada yang berjalan kaki ke dewan. Ada juga yang menaiki 'shuttle' percuma yang di sediakan. Ada yang masih mampu membawa kereta. Ramai antara kami yang tidak tahu apa yang berlaku di Padang kerana semuanya menerima jemputan untuk ke ke dewan. Jam 2.00 petang barulah kami di benarkan mendaftar. Tempat duduk telah ditentukan lebih awal mengikut nombor meja yang telah ditetapkan. Mengikut jadual kami cuma boleh menikmati hidangan jawa sunda yang dihidangkan kira-kira jam 4.00 ptg. Wow... macam Hi-Tea pulak lagaknya. Nasib baik kami telah makan nasi lemak pagi tadi. Mawi dan Ekin cuma akan tiba di sana kira-kira jam 3.30 petang setelah turun dari helicopter, bersanding di padang dan menaiki kereta mewah dari padang ke dewan. Program di padang telah di acarakan oleh Zizan & Johan dari Raja Lawak ASTRO 2.

Majlis di dewan dimulakan dengan persembahan kuda kepang dan barongan. Agak panjang juga persembahan tersebut. Para peminat terpisah di antara luar dan dalam dewan. Para juru gambar berpusu-pusu mengambil gambar. Pengacara Majlis yang bagi saya kurang berprestij untuk majlis hebat ini ialah iaitu Bob KU2 dan Yasin. Sempoi sangatlah. Di dalam dewan yang agak panas kerana tiada penghawa dingin di mulakan dengan 'pantun yang entah apa-apa' kemudian diikuti oleh istiadat menepung tawar. Semasa 'Raja & Ratu Jawa' bersantapan (tetamu juga) hadirin dihiburkan dengan nyanyian kumpulan nasyid. Usai majlis santapan pengantin berehat sebentar sebelum ke acara memotong pulut kuning. Masa pengantin turun dari meja santapan Umi dengan sepantas kilat menahan Mawi untuk bergambar. Saya kira beliau adalah peminat yang paling bertuah kerana dapat bergambar berdua dengan Mawi dengan busana Raja Jawa !!!

Mawi & Ekin masih sempat lagi mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terpilih. Sesi bergambar bersama-sama kumpulan terpilih juga di adakan. Sesi bergambar bersama peminat di jalankan di luar dewan. Sebelum Mawi dan Ekin meninggalkan dewan alhamdulillah saya sempat menyampaikan secara peribadi kad yang telah kami tandatangani.

Saya pulang selepas Mawi dan Ekin pulang setelah mendapat 'bunga telur'. Sementara ada rakan kami yang masih sibuk mengambil gambar di dalam dewan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Zulfadzli, Man PA, Wan, Alam. Abby Fana, Yasin dll. Mungkin kerana tidak berjaya bergambar dengan pengantin kot... hahaha.

Saya tiba di rumah tumpangan kira-kira jam 6.15 petang. Mandi, Solat dan terus pulang ke KL konvoi tiga kereta bersama Kak Husna & Abby.

Verdit saya? Puas cuma sedikit ralat kerana tidak dapat bergambar secara personal dengan pengantin.

Terima kasih Mawi & Ekin kerana melayangkan undangan VIP kepada kami semua. Alhamdulillah.