Monday, July 7, 2008

SEPI.... Cinta Tak Datang Hanya Sekali

SEPI… Hasil buat tangan terbaru Kabir Bhatia setelah hampir dua tahun CINTA muncul menemani hidup kita. SEPI menampilkan cerita cinta romantik 3 individu yang belajar tentang erti cinta, kehilangan, harapan yang tidak kesampaian, pengorbanan yang perlu dilakukan, bagaimana merawat kedukaan dan mengharungi kesepian itu sendiri.

Adam… diulit oleh kisah dikejar cinta Suzie dan rasa ingin memiliki Ilyana. Adam, lambang kepada kejayaan seorang chef yang sentiasa hadir dengan kek perkahwinan ‘masterpiece’nya. Tetapi hakikatnya masih mencari pengantin perempuannya. Kemelutnya bertambah kerana sentiasa menemui wanita yang salah, dikejar oleh wanita yang tidak cintainya sehingga Adam bertemu dengan Ilyana yang disangkakan ‘soulmate’ beliau. Namun yang indah itu tidak semudah yang di sangkakan. " Buat apa berjumpa, hanya untuk berpisah..."

Sufi… setiap hari berlari berbatu-batu untuk melepaskan diri dari cengkaman rasa bersalah atas kematian isteri beliau. Kesepian membelenggu. Rasa bersalah menghantui. Kehidupan tidak bermaya. Satu hari beliau bertemu Marya… kiranya cinta kedua hadir. Malangnya Marya juga mempunyai masalahnya sendiri. Lantaran keduanya terpaksa belajar tentang erti pengorbanan. " Ini takdir, kita kena percaya pada takdir..."

Imaan… Serang pelajar kolej yang juga merupakan penulis lakon pentas yang trauma akan kisah cintanya dan dalam masa yang sama enggan membuka ruang untuk memiliki cinta baru. Imaan, menjadi objek cinta Ian yang turut berlakon dalam pementasan tersebut. Tika cinta mula berputik – rasa bersalah menghantui diri, berakhirnya pula kisah ini dengan suatu ‘twist’ yang tidak disangkakan. " Bisikkan pada bulan, kembalikan temanku, kekasihku, syurgaku..."

Ketiga-tiga mereka bertemu di dalam satu tragedi yang akhirnya mengubah lanskap kehidupan mereka seterusnya.

Menonton SEPI membuatkan saya berasa puas menonton filem melayu yang digarap secara emosi mendalam tanpa dipaksa, di sajikan dengan penceritaan yang memiliki taraf intelektual yang boleh dibanggakan, ditambah pula dengan sinematograpi yang amat menarik selari dengan emosi yang hendak dibawa kekadang tidak mampu dibayangkan oleh saya - seperti poskad pun ada. Audio Visual yang mengiringi penceritaan juga menambahkan mood secara mendalam. Para pendokong watak memainkan peranan mereka dengan ampuh sekali, baik Afdlin (Adam), Vanida (Ilyana), Nasha (Suzie), Tony (Sufi) dan Eja (Marya) - antara yang melekat dijiwa saya. Sememangnya saya telah membuat pilihan tepat untuk menonton filem ini.

Nasihat saya, lawatilah panggung wayang berhampiran dengan anda untuk menghilangkan keSEPIan, kerana dengar cerita kutipan filem ini amat mengecewakan. Setalah lima hari masuk pawagam, baru RM 500, 000 yang berjaya pungut. Jika beginilah berterusan… usia filem ini tidak mungkin berpanjangan. Lagipun apalah sangat RM8.00 untuk sebuah karya yang indah ini.


Album Runut Bunyi SEPI juga tidak mengecewakan. Lagu-lagu indah dan istimewa telah menghiasi filem ini. Lantaran itu, album ini harus dimiliki. The Lima muncul dengan 'Kau Ada Dia' - dalam mimpi kita berdua, mesra bersama di lamun cinta, oh tetapi kenyataannya, aku sedar kau ada dia. Zaf dan Lah (V.E) muncul dengan versi lelaki lagu 'Aku Bukan Untukmu' - dahulu kau mencintaiku, dahulu kau menginginkanku, meskipun tak pernah ada jawabmu, tak berniat kau tingglkan aku. Lagu berhantu Anuar Zain juga ada... 'Mungkin' - mungkinkah segala, derita di jiwa, akan terubat kini.... Nora "Oh! Asmara", Baizura Kahar "Puisi Sepi" dan Sepi " Yuni Syara" antara yang menarik. Ada juga lagu-lagu lain yang menginspirasikan filem ini seperti Sayang Sayang (Alif Aziz), Rindu (Saiful), Hilang (Diddy) dan Seribu Tahun (Imran Ajmain).

1 comment:

Anonymous said...

BETUL KATA SAUDAR.. SAYA TERKILAN KARYA INDAH KHABIR BHATIAR NIE X DIHARGAI RAKYAT MALAYSIA SEPERTI FILEM CINTA DULU.. SAYA RISAU KOT2 KHABIR PATAH HATI DALAM BERKARYA LAGI... BAGUS SANGAT FILEM NIE.. TERUTAMA SINEMATOGRAFINYA.. INDAH KUALA LUMPUR DILAYAR KHABIR... OK..