Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1429H, Istana Budaya telah mementaskan Teater Muzikal berjudul Sirah Junjungan yang menggabungkan elemen muzik, tarian, lakonan dan nyanyian. Sebuah persembahan yang indah, unik, artistik yang berjaya menjelma keindahan estetika dari sebuah kebenaran sejarah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Naskhah hebat ini telah dipentaskan oleh Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang dipengurusikan oleh tidak lain tidak bukan, Erma Fatima.
Antara pendokong watak yang menjadi panglima dan srikandi kepada produksi ini ialah Mazlan Tahir (Narator), Ahmad Yatim (Abdul Mutalib & Abu Talib), Norish Karman (Siti Khadijah - yang cuma muncul di sebalik tabir), Elly Suriaty (Hendon - hebat betul lakonannya), Shahronizam Noor (Saidina Hamzah, Sawadah & Tentera Muslim), Azri Iskandar (Saidina Ali - juga cuma muncul di sebalik tabir), Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf), Aman Graseka (Saidina Usman - juga di sebalik tabir), Rachmad Abadi (sama, di sebalik tabir), Rosden Suboh (Maisarah), Laksman (Talha - terharu juga akan lakonannya, percayakah - dia cuma seorang penari), Jessie Lim (Abrahah) dan ramai lagi. Tidak cukup dengan itu, Jamal Abdillah & Salleh Brothers telah mengindahkan lagi nashkah ini dengan menyumbangkan suara merdu mereka.
Kisah dimulakan dengan menunjukkan perilaku buruk kaum Arab Jahiliah dimana budak dan hamba abdi dilayan seperti binatang, wanita pula dijadikan pemuas nafsu, anak perempuan pula di tanam hidup-hidup semasa kecil. Kaabah pua dikelilingi oleh berbagai berhala sembahan, antara yang utama ialah Latta Uzza. Dalam pada kejahiliahan Kaun Quraisy itu, seorang wanita yang kematian suami sebenarnya sedang mengandung seorang insan mulia yang bakal membawa sinar kepada sebuah kegelapan. Di saat bayi ini dilahirkan tangisan nya telah meretakkan dinding Istana Kisra, api Kuil Parsi padam, Tasik Sawah menjadi kering, berhala-berhala di sekeliling Kaabah tumbang jatuh ke bumi. Bayi inilah yang akan memadamkan api sembahan Kaum Majusi. "...Tercipta satu sejarah di tanah suci Kota Mekah, lahirlah ia penuh saadah bermulalah sebuah kisah, malam sunyi subuh yang indah 12 Rabiul Awwal yang cerah, 20 April Tahun Gajah lahirkah zuriat yang bernama Muhammad...".
Keindahan budi pekerti Muhammad dikagumi segenap lapisan, hamba abdi, orang suruhan, tua, muda dan juga hartawan. Budi pekerti mulia telah menawan menawan hati Siti Khadijah.
Cintanya kepada Allah, membuatkan segala kesengsaraan terasa ringan. Namun begitu Nabi Muhammad s.a.w. telah diuji lagi dengan kematian bapa saudaranya Abu Talib sebelum memeluk agama Islam. Kemudian derita di tambah dengan kemangkatan isteri tercinta pula, Siti Khadijah yang rela menafkahkan harga, tenaga demi Islam. Kematian Abu Talib telah memuncakkan penentangan Kaun Quraisy terhadap nabi Muhammad s.a.w. sehingga mereka merancang untuk membunuh nabi Muhammad s.a.w.
Dek penderitaan yang amat sangat, Nabi Muhammad mengarahkan supaya sahabat-sahabat baginda untuk berhijrah untuk mencari penempatan baru di Kota Madinah yang mana menjadi Darul islam yang pertama.
Kemudian kita disaksikan dengan Perang Uhud dimana umat Islam tewas. Kita juga menyaksikan bagaimana Hendon merobek dan mengunyah jantung Hamzah.
Saat yang paling menyayatkan hati ialah apabila tiba saat kemangkatan Nabi Muhammad s.a.w, bergenang air mata, terasa kerdil diri mengenangkan telatah Sawadah yang ingin memeluk Nabi Muhammad yang dirinduinya kesekian kali.
Tahniah kepada Erma Fatima yang berjaga mengisikan Cuti Maulidur Rasul saya dengan begitu berfaedah. Muzik dan Lagu yang indah dan merdu menghiasi teater ini. Penattan cahaya & props pentas juga membanggakan. Memang berbaloi menonton.
Teringat saya ketika di tempat kerja lama satu ketika dahulu, setiap kali tiba Maulidur Rasul kami berpeluang menganjurkan progam yang diberi nama "Sepetang Di Bawah Cahaya Junjungan". Kini semuanya tinggal kenangan, cuma indah digamit nostalgia.