Wednesday, March 10, 2010

Salam 1Malaysia dari Iqwal


Saya selalu beranggapan seorang penyanyi cuma akan lengkap apabila ia telah memiliki sebuah 'lagu berhantu' @ 'hit single', sebuah lagu balada yang mendayu-dayu lagi malar segar (evergreen), sebuah lagu untuk Hari Raya Aidil Fitri yang akan dimainkan setahun sekali, sebuah lagu ketuhanan/kerohanian untuk menginsafkan para peminat dan sebuah lagu patriotik tanda cintanya kepada tanahair. Saya kira Adik Iqwal berada di landasan yang betul setelah selamat melancarkan Album 1Malaysia pada 27 Februari 2010 yang baru lalu di Laman Santai, istana Budaya. (malang sekali saya tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja)

Iqwal yang masih baru di dalam dunia hiburan arus perdana meskipun telah mula menyanyi sejak 9 tahun lagi (mungkin lebih awal) telah melahirkan album perdana beliau tahun lalu yang mengandungi sebuah lagu balada yang amat saya minati - 'Takdir Cinta Kita'. Kini bukan hanya dengan sebuah lagu patriotik dilahirkan tetapi sebuah album penuh !!! Teringat pula saya akan kepada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang satu ketika dahulu pernah melahirkan album Patriotik beliau yang berjudul ABADI yang mengandungi lagu-lagu kemerdekaan yang masih kekal sehingga kini seperti Warisan, Tanggal 31, Tegakkan Bendera Kita, Radio Malaya & Bapak. Kini Iqwal muncul dengan album 1Malaysia yang menyahut gagasan Perdana Menteri kita, Datuk Sri Najib Tun Razak.

Album ini lebih istimewa kerana mengandungi 6 buah lagu dari 6 bahasa pertuturan utama di Malaysia iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan. Antara lagu yang menarik minat saya ialah Remaja Satu Malaysia (Hadi Hassan & Emdee/J Looi) dan In Love, Forever (Nas Afandi). Lagu Tamil Ore Malaysia (Arun/Lina Manoh) juga tidak kurang menariknya. Sementara lagu Wo Bu Gu Dan (lirik oleh Lai Kok Kin) pula di alih bahasa daripada lagu Takdir Cinta Kita ciptaan Hadi Hassan. Usaha ini adalah suatu usaha yang amat murni daripada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan penghasilan satu khazanah negara ini !!! Syabas 'Team Kak Myn & Iwal' !!!

Akhir sekali, Terima Kasih kepada Iwal & Kak Myn yang menghadiahkan CD Iqwal 1Malaysia ini sempenan ulang tahun kelahiran saya yang baru lalu (1 Mac 2010). InsyaAllah saya akan cuba promosikan album Iqwal kali ini sedaya mampu.

Untuk rekod, Iqwal kini sedang berada di Jakarta sehingga 12hb Mac ini kerana beliau akan mengadakan persembahan di "ASEAN BEST PERFORMING ARTS" di sana. Selamat mengibarkan panji-panji negara - Jalur Gemilang. Semoga berjaya !!!

No comments: