Friday, February 5, 2010

Pelancaran Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya












Sesuatu yang amat baru dan segar lantaran ia menjadi sangat menarik. Gabungan pelbagai alat muzik tradisional rumpun kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, India dan etnik Sabah & Sarawak disatukan seramai 64 orang pemuzik dan dibentuk menjadi sebuah orkestra yang dinamakan Orkestra Tradisional Malaysia. Hasilnya muzik yang dimainkan begitu menakjubkan. Malam ini, Malaysia telah melakarkan satu lagi sejarah di mana Orkestra Tradisional Malaysia telah dilancarkan dengan Pelancaran Konsert Orkestra Tradisional Malaysia yang telah disempurnakan oleh YBhg Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Malaysia.

Alhamdulillah, saya telah mendapat jemputan daripada Kak Myn (ibu kepada penyanyi Iqwal yang turut membuat persembahan) untuk menonton konsert ini di Istana Budaya sebentar tadi. Lantaran itu saya juga telah mengajak Lisa, Mus dan cute untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

Secara keseluruhan konsert amat menghiburkan. Upacara pelancaran amat ringkas tetapi penuh makna di mana YBhg Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim telah mengambil baton konduktor dari sumpoton yang diturunkan dari siling pentas lantas bertindak sebagai konduktor memulakan aluna muzik sementara isteri beliau pula, Datin Seri Utama Masnah Rais;l menepung tawar para pemuzik sebelum konsert di mulakan.

Konsert bermula dengan Persembahan lagu Gadis Malaysia (lagu asalnya Gadis Melayu) oleh Raja Pop jamal Abdillah. Segmen pertama di akhiri dengan persembahan Iqwal dengan sebuah lagu Spanish saya kira berjudul Corazon Espinado (nyanyian asal Kumpulan Santana). Antara persembahan lain termasuklah The Phantom of Opera oleh Asmidar, Lagu Tamil oleh EmKay, Kehebatan Cinta duet Jamal & Asmidar, Persembahan Medley Asean (Di Tanjung Katong - Singapura, Begawan Solo - Indonesia, Sabai Sabai - Thailand, Lagu Filipina & Lagu Brunei). Persembahan Band Orang Asli juga amat menarik perhatian saya. Akhir sekali Iqwal mengepalai persembahan Medley Lagu 1 Malaysia & Malaysia Satu.

Menarik. Terhibur. Terasa amat singkat. Tahniah Istana Budaya !!!

No comments: