Saturday, February 6, 2010

Jelajah Persada Episod 2 : Gua Kota Gelanggi










Permulaan hari kedua kami agak lewat daripada yang dijangkakan. Janjinya jam 7.30 pagi untuk memulakan langkah namun saya dan Lisa cuma siap jam 8.00 pagi. Mas memang awal-awal lagi telah keluar dari chalet sambil membawa kamera dan merakam persekitaran Tekam FELDA Residence(yang terdaya kaki melangkahlah). Kami memang berniat untuk keluar usai sarapan di 'Coffee House'. Makanan yang di hidangkan di Cofee House memang tidak banyak pilihan tetapi yang pastinya Sambal Ayam Masak Merah yang dihidang bersama nasi lemak itu memang menyelerakan sekali.

Semasa proses 'check-out' saya sempat bertanyakan kepada pekerja Tekam FELDA Residence berkenaan lokasi pelacongan yang paling hampir memandangkan perjalanan dari sini ke Temerloh cuma akan mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja. Kami sebenarnya telah berjanji untuk makan tengah hari di Temerloh untuk menikmati Ikan Patin asli di bandar tersebut, jadi sememangnya kami mempunyai banyak masa untuk dihabiskan.

Maka terpacullah daripada mulut perkerja tersebut yang Kota Gelanggi cuma 10 minit sahaja daripada Tekam FELDA Residence. Lantas kamipun membuat keputusan untuk singgah di Gua Kota Gelanggi sebelum meneruskan perjalanan ke Temerloh.

Terletak kira-kira 25 km dari bandar Jerantut - jika dari Jerantut kita akan menemui Kota Gua Gelanggi dahulu sebelum Tekam FELDA Residence. Gua lagenda ini mempunyai sejarah yang tersendiri antaranya ialah Kota yang menjadi tempat persembunyian & merangka strategi Pahlawan Mat Kilau. (Ironinya di dalam kereta kami ada berbincang berkenaan pahlawan-pahlawan negeri Pahang; antaranya Datuk Bahaman dan Mat Kilau tetapi tanpa mengetahui yang Pulau Tawar (di Daerah Jerantut) adalah tempat asalnya Pahlawan Mat Kilau dan kami telah melepasi Pulau Tawar sebelum sampai ke Tekam Felda Residence sebelumnya). Acara jelajahan singkat ini cuma sempat kami jejaki tiga buah gua sahaja iaitu Gua Tongkat, Gua Kota Balai & Gua Terang Bulan. Antara gua-gua lain yang ada dibuka untuk pelancong seperti Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Penyu, dan Gua Kelawar.

Gua Kota Gelanggi dalam metosnya ada juga dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Terdapat pelbagai bentuk batu yang menyerupai manusia bersanding, ular, singa dan sebagainya. Kejadian ini dikaitkan dengan sumpahan Sang Kelembai iaitu makhluk yang mempunyai kuasa sakti yang menyumpah sesuatu menjadi batu. Mengikut kajian Muzium Negara pada tahun 1981, terdapat bukti bahawa barang-barang yang dijumpai di dalamnya adalah tinggalan manusia zaman purba.

Setelah puas menjelajah dan Mas sempat bertemu dengan sahabat lama beliau maka kami mula meninggalkan Gua Kota Gelanggi dengan beberapa pengetahuan baru yang diceritakan oleh En Hamidi (kawan Mas). Apa yang pasti Ikan Patin menanti kami di Temerloh untuk di jamah. 'Temerloh.... Aku Datang !!!"

1 comment:

sorre said...

you could try here this post discover this visit the website important link visit this website