Sunday, September 25, 2011

Buah Tangan Terbaru Anuar Zain



Terima Kasih kepada Mujes & Pah yang menjemput saya makan-makan lewat tengah hari tadi di Bora Ombak, Ampang. Saya bukan sahaja dapat makan dan berhibur tetapi juga telah dibekalkan dengan buah tangan terbaru anak kedua Pak Zain. Siapa lagi kalau bukan Penyanyi Lelaki Tersohor Negara - Anuar Zain (beliau memang tiada kaitan dengan Jefri Zain mahupun Maher Zain melainkan saudara seIslam sahaja...:)).

Memang telah lama kita menanti album terbaru Anuar Zain ini, meskipun semua peminat telah terubat rindu mereka dengan Anuar Zain apabila KRU Records telah melancarkan Single Anuar Zain "Sedekit Lebih" yang menjadi lagu tema Hikayat Merong Mahawangsa awal tahun ini. Tetapi itu sebenarnya tidak cukup, maka Universal Music Malasyia telah memasarkan album penuh Anuar Zain baru-baru ini yang seperti biasa, sebagaimana terdahulu; semua album Anuar Zain judulnya adalah Anuar Zain juga !!! Yang berbezanya kali ini, kulit albumnya dengan gambar hitam-putih wajah yang tak makan dek usia Anuar Zain ! Hebat kan?

Sehingga ke saat ini saya kira CD yang mengandungi 8 lagu ini telah berputar lebih daripada 10 kali, samada di rumah mahupun di dalam kereta saya ! Secara dasarnya ia sebuah CD yang memenuhi citarasa dan penggemar muzik Anuar Zain. Banyak lagu yang menarik, segar dan bakal menjadi malar hijau tidak lama lagi. Saya kira Single ulung daripada album ini telahpun mula diperdengarkan di corong-corong radio dan mula melekat di hati kita - 'Ku Berjanji Karna Cinta'. Melankolik, mendalam dan amat bermakna ! Lagu-lagu lain seperti 'Nadi Terhenti', 'Ajari Aku', 'Pernahkah' dan 'Sempurnakan Aku' mengekalkan 'trademark' Anuar Zain dengan lagu-lagu balada sentimental dengan lirik mendalam, penuh jiwa dan mencabar vokal. Mendayu tapi segar.

Secara jelas, saya kira Anuar Zain melahirkan album ini bukan untuk merebut anugerah di AIM mahupun Juara Lagu, tetapi untuk peminat dan kepuasa dirinya sahaja. Setelah dibelek-belek saya kira cuma satu lagu satu lagu sahaja milik pencipta Malaysia iaitu Simpati Cintamu ciptaan Hazami, yang boleh atau mampu bertanding di pentas AIM dan Juara Lagu.

Sesungguhnya, ini adalah salah satu daripada 5 album artis Malaysia yang saya cadangkan untuk dimiliki oleh semua rakyat 1Malaysia untuk tahun ini . 4 lagi? Akan menyusul seketika nanti....