Monday, August 28, 2006

Keranamu Malaysia... Tanah Air

Cikgu Lim Swee Tin, Pensyarah UPM sebenarnya. Dia memang akan 'glamer' setiap kali ulang tahun kemerdekaan tiba. Jika berbicara, loghat 'kelate' beliau jelas sekali... Aku malu akan kehebatan beliau dalam bidang kesusasteraan melayu... Gambar ini di ambil semasa Malam Puisi Kemerdekaan di Dataran Merdeka anjuran DBKL pada 26 Ogos yang lalu.
Tanah Air
(Zubir Ali & Joey/Sasterawan Negara Usman Awang/
Kumpulan Harmoni)

Engkau Tanah Air
Pemilik Perut Yang Berbudi
Penampung Hujan Penyedut Sinar Mentari
Lahirlah Anakmu Dari Semaian Petani

Engkau Ibu Murni
Dengan Jasa Abadi
Berdetik Didenyut Nafas Kami
Kerna Kita Satu Sama Dipunyai

Telah Kau Rasa
Segala Seperti Kami
Dalam Ngeri Perang Dadamu Dibongkar Besi
Di Mana-mana Wajahmu Tak Pernah Mati

Tapi Begitu
Sejarah Hidup Zaman Berzaman
Pernah Merangkul Pahlawan Kemerdekaan
Mereka Sujud Dalam Kaku
Mohon Perlindungan

Bukankah Dengan
Kasih Dan Harapan
Kau Tenggelamkan Meraka Dalam Dakapan
Di Mana Bunga Ganti Nisan Bertaburan

Negara Baru
Di Atas Rongga Jantungmu
Akan Tegak Bertapak Dalam Kebebasan
Cinta Antara Kita Wahyu Dari Tuhan

Nota Jase :
Kumpulan Harmoni dianggotai oleh Zubir Ali, Joey, Jasmin & Azie (ya… isteri kepada Syed Sobri). Album pertama kumpulan ini, yang bertajuk Kumpulan Harmoni diterbitkan dalam tahun 1982 (24 tahun yang lalu !!!). Antara lagu yang begitu mengusik jiwa saya ialah Penantian (lagu cinta yang begitu indah dan melankolik. Ya… lagu yang telah di ‘pontianakkan’ oleh Velvet kerana tidak memahami karektor lagu ini), Doa (dari puisi Chairil Anuar – negarawan dari seberang, Aishah juga pernah merakam semula lagu ini dalam album Aishah Klasik), Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang & Balada Anak Desa.

Lagu yang menjadi lagu tema ('ranking' No 1) saya setiap kali ulang tahun kemerdekaan tiba ialah “Tanah Air” yang di adaptasikan dari puisi indah hasil karya Sasterawan Negara Usman Awang. Saya sebenarnya mula diperkenalkan dengan lagu ini pada tahun 1987 semasa pertandingan lagu patriotik di sekolah saya. Lihatlah pada bait-bait puisi ini yang begitu menusuk kalbu apatah lagi dengan melodi yang begitu meresap kejiwa. Inilah lagu patriotik yang paling melekat dalam jiwa saya. Apakah lagi yang mampu saya katakan jika cinta saya terhadap persada ini adalah wahyu dari tuhan? Sangat indah, tulus, hakiki dan mulia…..

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 49 kepada semua pembaca blog saya. Semoga kita semua dapat mengisi kemerdekaan ini sebaiknya….