Sunday, September 6, 2009

Masjid Besi di Hari Kedua di Buka..













Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum ini digelar Masjid Besi. Masjid ini terletak di Presint 3, Putrajaya. Masjid ini yang mula dibina sejak April 2004 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2009 dan dibuka pada hari Jumaat, malam Awal Ramadan 1430H. Kiranya saya bersolat di malam kedua masjid indah ini dibuka (Hari pertama berpuasa - 22 Ogos 2009 dan malam kedua bertarawikh). Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini yang mempunyai keluasan 1 X ganda berbanding dengan Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara dan sudah tentu adalah Mercu Tanda terbaru Putrajaya.

Masjid Besi ini istimewa kerana ia tidak dipasang dengan kipas ataupun alat penyaman udara di dalamnya. Sebaliknya masjid ini menggunakan gas penyejuk (gas district cooling - GDC). Selain itu, masjid ini turut menggunakan Seni Bina Jaringan Wayar (Architectual Wire Mesh) atau Anyaman Masyrabiah yang diimport dari Jerman dan China (turut dipasang pada Stadium Bernabéu di Madrid dan perpustakaan negara Perancis yang dikenali Bibliothèque nationale de France yang terletak di Paris). Pintu gerbang masuk juga menggunakan konkrit bertetulang kaca (GRC) bagi mempertingkat integriti sesebuah struktur serta kaca hablur bagi menjadikan masjid kelihatan berwarna putih keperakan dari jauh.

Perjalanan menuju ke masjid akan meneyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m². Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra. Hiasan dalamannya dilatari ukiran Asma Ul Husna menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci al-Quran dari Surah Al-Israa’ ayat ke-80. Uniknya perjalanan ini adalah mengarahkan ke kiblat.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 m juga diimport dari Jerman yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.

Antara fasiliti yang terdapat di masjid besi ini ialah Ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat, Tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid,10 unit bazar atau ruang niaga di dalam kawasan masjid, Bilik pameran yang mampu memuatkan 250 orang, Dapur, Bilik orang kenamaan, Bilik penyelenggaraan, Bilik jenazah, Pejabat, Bilik kawalan audio visual dan Ruang letak kereta bawah tanah.

Iwan Utama – Laluan gerbang utama menuju Sahn yang terukir Asma Ul Husna

Sahn – Kawasan laman menempatkan ruang solat terbuka dan padang

FAKTA NOMBOR: Masjid Besi, Putrajaya

RM180 juta – Kos pembinaan
60,156 – Meter persegi keluasan masjid
20,000 – Kapasiti jemaah.

No comments: