"Satu-satunya Kopitiam di R&R Jejantas Sungai Buloh"
"Inilah menu Sarapan Pagi kami pada 18/12/2009"
"Ini pula menu saya"
Saya tahu Mas memang ingin sangat saya mengekalkan judul yang telah beliau perah otak selama setahun memikirkannya bagi semua tulisan saya berkenaan program ini. Tetapi memandangkan saya menulis di dalam Bahasa Kebangsaan maka saya kira amat perlu untuk saya menterjemahkan 'Road Trip' kami berempat (Mas, Oxford, Lisa & saya) tempoh hari dari EXPLORE MALAYSIA : EPISODE 1 kepada JELAJAH PERSADA : EPISOD 1 agar catatan lebih dekat ertinya dengan apa yang ingin disampaikan. Tentu Mas tidak akan marahkan saya, lagipun saya juga perlu akan 'Siaran Eksklusif' unutuk gugusan-gugusan peristiwa ini. Bukankah begitu?
Jelajah kami mengambil masa kira-kira 3 hari 2 malam. Sebetulnya dari 18 sehingga 20 Disember 2009 yang lalu bersempena dengan sambutan Maal Hijrah di seluruh dunia amnya dan dunia Islam khususnya. Perjalanan kami pula merentasi 5 negeri iaitu WP Kuala Lumpur, Selangor Darul Ehsan, Pahang Darul Makmur, Kelantan Darul Naim & Perak Darul Ridzuan. Saya dan Lisa bermula dari Bandar Putra Permai > Kuala Lumpur > Sungai Buloh untuk 'Rendezvous' ulung bertemu Mas & Oxford untuk sarapan pagi di R&R Jejantas Sungai Buluh. Mula-mula kami berjanji untuk bertemu jam 7.30 pagi tetapi akhirnya semua bersetuju untuk lewat 1 jam dari jadual asal. kalau tak sudah tentu kami semua terpaksa bangun seawal jam 5.00 pagi !!!
(Perjalanan kami seterusnya akan merentasi Simpang Pulai > Cameron Highland > Gua Musang > Dabong > Jeli > Tasik Banding > Gerik > Kamunting > Taiping > Simpang sebelum masuk semula ke Lebuhraya PLUS untuk pulang ke Ibu Negara).
Cuma ada 1 sahaja Kopitiam di R&R Jejantas Sungai Buluh, KAYA KOPITIAM. Maka sudah tentu ia menjadi lokasi tujuan. Usai memenuhi perut dengan roti bakar, telor setengah masak dan sebagainya kami meneruskan perjalanan kira-kira jam 9.45 pagi. Rencana hari ini ialah Cameron Highlands dan kami akan menelusuri Lebuhraya PLUS sehingga ke susur keluar Simpang Pulai untuk kesana. Dalam perjalanan seperti biasa saya akan berhenti di Stesen Minyak PETRONAS untuk meneruskan Cabaran PSS di FB saya.
"Nak juga ambil gambar Crocs baru yang dibeli khas untuk tujuan Jelajah Persada ini"
No comments:
Post a Comment