Monday, January 18, 2010

Jadilah Pemberani, Kejarlah Semua Mimpimu





Ini merupakan DVD kedua titipan sahabat saya, Bung Joko dari Jakarta. Saya cuma berkesempatan untuk menonton DVD ini petang Ahad baru lalu. Dari tajuknya sahaja "Garuda di Dadaku" (GDD) kita tahu bahawa ceritanya pasti tentang sebuah impian yang diperjuangkan, penuh rintangan dan akhirnya membuahkan kemanisan yang tidak terhingga. Sebuah kisah motivasi yang akan membuat kita tidak bergerak dari kerusi dan merasa 'feel good' apabila nota-nota kredit mula muncul di akhir cerita. Puas dan penuh dengan semangat baru.

GDD mengisahkan Bayu, kanak-kanak 12 tahun yang begitu suka sekali bermain sepakbola (sila baca bola sepak). Meskipun begitu, minatnya ini mendapat tentangan yang amat kuat sekali daripada Kakeknya (sila baca datuknya). Bagi Kakeknya, pemain bola tidak mempunyai masa depan. Kakeknya dalam pada itu ingin mendidik Bayu menjadi seorang pelajar yang pintar di sekolah dan serba boleh seperti memiliki bakat melukis dan bermain muzik. Dalam masa yang sama, sahabat baik Bayu, Heri iaitu seorang kanak-kanak cacat anggota (lumpuh - tidak dapat berjalan dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak) begitu menyokong akan minat Bayu dan sentiasa menjadi tulang belakang kepada minat Bayu. Ketika Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) ingin membentuk pasukan bolasepak Kebangsaan Indonesia U-13 Bayu mendapat semangat baru untuk memburu impian beliau. Bayu bukan sahaja di sokong Heri malah Bang Duloh (pemandu Heri yang lucu dan baik hati) dan Zahra (seorang gadis misteri di tanah perkuburan - projek sosial Bayu) dan kemudiannya ibu Bayu sendiri. Dalam masa yang sama semua niat ini masih dirahsiakan daripada Kakeknya sehinggalah suatu tragedi berlaku...

Kisah mengenai kanak-kanak dan sukan bola sepak ini pernah saya tonton ketika EUFF 2009 dahulu; berjudul Gilles. Berlatarbelakangkan persekitaran yang hampir sama iaitu kanak-kanak, impian dan bola sepak tetapi epilognya berbeza. Bila menonton GDD ini dengan klimaks yang berbeza, latar belakang serumpun dan emosi yang berlainan ia sebenarnya masih terasa segar pada saya.

Sesunnguhnya ini cuma kisah impian kecil tetapi sebenarnya telah menjeritkan kita kepada kebanggaan yang amat besar untuk persada. Terima Kasih Bung Joko kerana mengirimkan saya DVD ini, setidak-tidaknya dapat mengingatkan saya kepada kisah-kisah sewaktu kecil yang membuatkan saya tersenyum sendiri. Maka... Jadilah Saya Seorang Pemberani, Yang Akan Mengejar Semua Mimpi Yang Belum Terlaksana...

No comments: