Sekalung Tahniah saya berikan kepada Kak Erma (yang sekali lagi saja-saja menukarkan nama beliau kepada Eirma Fatima) yang telah bertindak sebagai pengarah dan mementaskan Natrah kepada peminat teater Tanah Air. Satu usaha murni. Satu usaha yang amat berani. Saya telah berkesempatan menonton Teater Natrah bersama Lisa, Mas & Oxford pada 2 Disember 2009 yang lalu. Meskipun tiada 'Standing Oviation' yang diberikan oleh penonton usai persembahan tamat tetapi teater ini sebenarnya adalah sebuah teater yang melepasi dua garis penetu utama iaitu berkualiti dan menghiburkan. (Saya kira Mas & Oxford juga berpuas hati dengan pementasan ini)
Mula-mula dahulu kita panik seketika akibat isu penarikan diri Diana Danielle kerana soal bayaran. Mungkin rahmat di sebalik musibah kerana kehadiran Maya Karin sebenarnya adalah lebih berhasil kerana pada pendapat saya, lakonan Maya adalah lebih mantap dan memberi impak. Semasa Maya melakonkan watak Maya sebagai 'budak sekolah' ia nampak betul-betul muda !!! Secara kolektif semua pelakon utama memberikan lakonan yang memberansangkan. Tetapi Che Aminah yang di dokong oleh Umie Aida adalah yang terbaik. Ini diikuti oleh Samantha Schubert (Adeline Hertogh), Sofea Jane (Natrah - 70 tahun) dan Maya Karin (Natrah). Lakonan Remy Ishak sebagai Mansor Adabi bukan tidak bagus cuma sebagai pelakon baru di pentas teater saya kira beliau perlu lebih banyak belajar. Paling terasa kekurangan ialah semasa monolong Mansor Adabi. "Feel" tak cukuplah Remy. (Semoga kes Remy dipukul Sabtu lalu tidak menjejaskan lagi penumpuan dan keberkesanan lakonan beliau demi menghabiskan baki pementasan).
Sesuai dengan temanya "Cinta, Perjuangan & Air Mata"; menonton teater ini adalah seperti kisah ini di bahgaikan kepada tiga elemen yang mengajak kita berfikir. Elemen kasih sayang antara Natrah dengan ibu angkat yang menjaganya, Che Aminah dan tentang perebutan kasih sayang dengan ibu kandungnya. Ianya juga bercerita tentang perjuangan, kesatuan dan penyatuan umat melayu ketika itu apabila agama dan bangsa mereka diperkotak-katik. Dan sesunggunnya mahu atau tidak, air mata pasti mengalir (meskipun graf penmgaliran air mata adalah sedikit kurang jika dibandingkan dengan Muzikal Sirah Rasulullah yang juga arahan Erma Fatima).(Apabila menulis tentang Natrah saya juga akan teringatkan Filem Jasmin (yang di angkat daripada kisah yang sama) arahan Tan Sri Kamarul Ariffin pada tahun 1984. Bagaimana untuk mendapatkan salinan DVD/VCD filem ini?)
Kisah ini sebenarnya telah menjadi lipatan sejarah yang dikongsi oleh Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak 59 tahun yang lampau. Mahu atau tidak ia akan terus berbekas di hati kita. Lebih-lebih lagi Natrah @ Bertha Hertogh baru sahaja meninggal dunia pada usia 72 tahun bulan Julai lalu. (Putihnya jiwa Natrah kerana di akhir hayatnya beliau telah mewasiatkan agak jasadnya toidak ditanam tetapi diserahkan kepada saintis untuk membuat kajian saintifik)
Saya berpendapat plot Teater Natrah kali ini mengambil jalan tengah dengan tidak menuding jari kepada mana pihak dan memusatkan kepada persoalan cinta yang amat berat. Kita juga disorot dengan kisah cinta Mansor Adabi dan Natrah dengan sedikit elemen Bollywood dengan mengambil sedikit 'score' daripada salah satu lagu yang menghiasi teater ini. Cinta ini mekar dalam acuan bollywood jelas kelihatan apabila Mansor dan Ntrah usai diijabkabulkan. Cinta Mansor Adabi dan Natrah mungkin pantas tetapi di bawa sehingga akhir hayat. Di dalam teater ia cuma berlaku dalam tiga babak !!! Tetapi amat berkesan sekali. Tak sangka juga Remy dan Maya ada 'chemistry' juga sebagai pasangan kekasih !!!
Babak lain yang menarik dan amat menyentuh hati ialah monolog Che Aminah & Adeline di selang seli dengan Natrah yang sama mengungkai pengertian kasih sayang dan hak masing-masing sementara Natrah yang naif yang inginkan kasih sayang yang dirasainya ketika itu dan terus bersama orang yang amat di sayanginya iaitu Che Aminah & Mansor. Monolog ini boleh diibaratkan seperti perang tiga penjuru.
Monolog Natrah 70 tahun di awal dan akhir juga amat berbekas. Sofea Jane dengan telor 'Mat Saleh'nya berjaya menambat hati saya. Ayat beliau "Aku seperti pemburu yang diburu haiwan buruanku" membuatkan kita terfikir akan azab dan sengsara yang di alami oleh Natrah tidak selesai-selesai hingga hujung nyawa beliau.
Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana berpeluang menonton teater ini meskipun bukanlah sampai ke tahap 'Bravo'!!!
Pementasan Natrah akan diteruskan sehingga 13 Disember 2009; jadual asal sehingga 9 Disember 2009 sahaja. Jadi yang belum menonton masih berpeluang untuk turut serta. Tempahan boleh di buat di 03-41498600/03-40265588. Ataupun boleh juga klik di sini.
No comments:
Post a Comment