Saturday, August 12, 2006
Sarah... Dari Babak Ke Babak
Arab dan Yahudi memang berjiran di tAsia Bara, malahan sebenarnya umat Yahudi dikelilingi oleh Umat Arab di Timur Tengah. Dari susur galur sejarah pula, ramai nabi yang lahir dari kedua bangsa ini. Tetapi, lihatlah; hingga kini pertelingkahan antara kedua bangsa ini seakan tiada penghujungnya.
Pada 10 Ogos 2006 yang lalu saya sempat menyaksikan drama terbaru karya Sasterawan Negara - Datuk Noordin Hassan yang berjudul ‘Sarah’ yang memberikan warna baru yang menakjubkan dalam mengupas isu kedua bangsa ini dari sudut kemanusiaan dan kekeluargaan. Kami menonton berdua sahaja – Miza sahabat saya dari utara tanah air yang kini bertugas di Subang. (Terima kasih juga kerana mengambil shot-shot menarik untuk blog saya ini)
Tidak pula saya ketahui yang satu ketika dahulu, Bangsa Yahudi pernah menetap di Pulau Pinang (tentulah ianya dibawa oleh Penjajah British selepas Perang Dunia Pertama sebelum mereka semua dipindahkan ke Australia – tetapi kubur-kubur masyarakat ini masih kekal di Pulau Pinang. Di mana kubur-kubur tersebut? Sekali lagi saya tidak dapat menjawab). Lantaran itulah, drama ini mengambil Pulau Pinang sebagai latar peristiwanya.
Menyentuh soal SN Datuk Noordin Hassan pula, kali terakhir saya menonton teater tulisan beliau ialah ‘Demi Zaitun’ pada tahun 2004 di Auditorium DBKL. Sebuah drama yang diilhamkan daripada ayat Quran. Selain daripada itu beliau juga pernah menghasilkan teater seperti Fitrah & Bukan Lalang Ditiup Angin.
Sarah, berkisah kepada Sarah Isaac seorang gadis Yahudi (yang kemudiannya memeluk Agama Islam) yang tinggal di Pulau Pinang. Bekerja sebagai pencuci kasut, kemudian bertemu dengan Syed Amir lantas membuahkan bibit cinta suci. Syed Amir berketurunan Arab yang berada orangnya. Sudah tentulah kisah kasih ini menghadapi pelbagai dugaan seperti fitnah, iri hati, tuduhan melulu yang mencabar hubungan mereka. Kisah ini bukan sahaja memaparkan persepsi masyarakat Melayu di Pulau Pinang terhadap bangsa Arab dan Yahudi malah lebih universal lagi apatah lagi apabila Yahudi baru-baru ini telah membedil bumi Lubnan tanpa berperikemanusiaan!!! Tetapi apakah segala permusuhan dan dendam kesumat ini boleh dilangsaikan dengan kasing sayang? Seperti yang di anjurkan oleh SN Noordin Hassan, cinta suci memang wujud dan boleh menangkis segala prasangka.
Secara peribadi, setelah saya baru berjinak-jinak kembali dengan teater, maka tanpa segan silu ingin saya nyatakan bahawa bagi saya teater ini amat berat dan sarat sekali. Dengan makna yang berlapis-lapis, dan metafora yang yang mendalam perlambangannya maka dengan sekali pandang tanpa pemerhatian dan pengupasan yang mendalam amat susah bagi saya untuk memahami sepenuhnya teater ini. Tetapi secara keseluruhannya teater ini memang menarik terutama dengan elemen penceritaan, gerak-gerak pentomin oleh ‘korus’, muzik dan lakonan yang silih berganti.
Pemain Teater kali ini terdiri daripada Betty Benafe (Sarah), Mazin Siraj (Syed Amir), Zaifri Husin (Sibli – ejaan terbalik Iblis!!! Yang juga bertindak sebagai pengarah), Zaibo (Subat – Si Penghasut Utama) dan Normala Omar (Kakak Syed Amir).
Akhir kata, teater ini memang menguji minda saya !!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment