“Wangi Jadi Saksi” merupakan kisah saat-saat terakhir Hang Jebat, seperti dilihat dari kaca mata isterinya Dang Wangi, tatkala Dang Wangi harus menghadapi para petualang yang telah mengakibatkan kematian suaminya. Melalui adegan-adegan imbas kembali dan imbasan ke masa hadapan, konfrontasi-konfrontasi Jebat dengan para sahabat dan sekalian musuh diurai dan dijelaskan, langsung para penonton dicabar penulis dan pengarah teater dengan interpretasi ini yang lain dari apa yang sudah diketahui dari sejarah.
Karya pilitik-cemas (political-thriller) ini berlaku di Melaka pada kurun ke 15 semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1458 – 1477). Empat Orang Besar terpenting dalam tata tingkat diraja Kesultanan Melaka adalah Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Seri Bija Diraja. Walaupun begitu, apabila pangkat Laksamana mula diperkenalkan dalam Istana Melaka, kedudukan Seri Bija Diraja mula terhakis dengan kenaikan status Laksamana tersebut yang kian hari kian setaraf dengannya.
Hang Tuah merupakan Laksamana Melaka yang pertama dan terulung, yang berkhidmat sehingga zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488 – 1510). Sumber-sumber sastera utama bagi Hang Tuah adalah “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuah”. “Hikayat Hang Tuah” adalah mengenai kisah Tuah dari muda hingga kematiannya , manakala “Sejarah Melayu” mencatatkan keberanian dan kejayaan-kejayaan beliau. Lagenda Laksamana Hang Tuah menjadi zahir bila masa diceritakan bahawa taat setianya kepada sultan dan kepada Melaka yang tidak goyah tatkala beliau dititah membunuh sahabat karibnya, Hang Jebat.
(ekstrak dari buku program “Wangi Jadi Saksi”)
TRIVIA
Dalam kesusasteraan Nusantara Melayu, pengkisahan “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuah” telah disentuh oleh banyak tangan sejak kurun ke-16 lagi. Antaranya Shellabear, Winsted, Munshi Abdullah, Tun Seri Lanang, A Samad Ahmad & Kassim Ahmad. Setiap satunya memberikan interpretasi yang berbeza.
Dalam teater Malaysia Moden, Syed Alwi al-Hadi telah mengangkat Hang Tuah dalam “ Hang Tuah Pahlawan Melayu, Sasterawan Negara Usman Awang pula mengangkat Jebat dalam “Matinya Seorang Pahlawan”, Dato’ Rahim Razali mengangkat persoalan Hang Tuah semasa beliau dalam buangan dalam “Ulu Melaka”.
“Wangi Jadi Saksi” merupakan naskhah pertama yang melihat persoalan pertarungan trajis dua pahlawan hebat; Hang Tuah - Hang Jebat di dalam Istana Melaka dari sudut pandangan seorang wanita, iaitu Dang Wangi isteri kepada Hang Jebat.
“Wangi Jadi Saksi” mencatatkan sejarah sebagai teater pertama gandingan dua nama besar dalam laman teater negara iaitu U-Wei Hj Shaari (sebagai pengarah) dan Dato’ Rahim Razali (pelakon).
Vanidah Imran juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi salah seorang yang berkecimpung dalam dua pembukaan rasmi dua ‘venue’ untuk persembahan seni iaitu Istana Budaya dan kali ini Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khalid Salleh merupakan dramatis Malaysia pertama mementaskan teater di festival teater international “Asia Monodrama Festival” di Taiwan (1989), Jepun (1991), Calcutta, India (1992) & New Delhi, India (1993)
Teater “Wangi Jadi Saksi” ini dipentaskan sempena sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka dari 27 Julai hingga 6 Ogos 2006.
Pengarah : U-Wei bin Hj Shaari
Dang Wangi : Vanidah Imran
Pateh Kerma Wijaya : Khalid Salleh
Bendahara : Dato’ Rahim Razali
Hang Tuah : Khir Rahman
Hang Jebat : Mohammad Shoffi Jikan
Masa : Sabri Yunus
Karya U-wei pertama yang aku tonton ialah Teater Bakai yang dipentaskan di Auditorium DBKL, entah bila... lewat tahun 90an rasanya. Kemudian, U-wei beralih ke layar perak. Aku begitu mengkagumi karya-karya beliau seperti Perempuan, Isteri & ....., Kaki Bakar, Jogho, Buai Laju-laju. Tentu sekali aku akan menanti kisah "pohon rambutannya..."Khir Rahman... siapa sangka beliau adalah anak kepada A Rahman Hassan... "Alangkah sedihnya... hatiku..."
Wak @ Khalid Salleh..., kali terakhir aku berbicara dengan Wak semasa beliau bermonolog dengan sajak-sajak beliau "Bukan Apa-Apa" di MTC, Jalan Ampang. Kalau tak silap aku mungkin tahun 2004. Aku begitu mengkagumi lakonan beliau terutama dalam Jogho & Kaki Bakar. Kata Wak, Minang pun beliau boleh; bukan Jawa sahaja.
No comments:
Post a Comment