Tuesday, February 16, 2010

Jelajah Persada Episod 2 : Rompin Oh Rompin



Kami mengakhiri Jelajah Pahang hari kedua (30 Januari 2010) dengan bermalam di Rompin. Sedar tak sedar sebenarnya kami telah merentasi Negeri Pahang dari Barat (Daya) ke Timur (Tenggara). Bermula dengan hari pertama apabila kami memasuki Pahang melalui Bukit Fraser kini akhirnya kami sampai ke sempadan Johor di sebelah timur (Tanjung Gemok). Sungguh menakjubkan - apatah lagi kami cuma berpandukan hati dan papan tanda sahaja . Setelah melalui jalan yang agak mencabar (sila baca sungguh mencabar) dari Bera melalui Bandar Muadzam Shah, dan kami juga hampir tersesat. Nasib baik kami berpegang kepada Pepatah Melayu lama - 'Malas bertanya sesat jalan' lantas kamipun bertanyakan orang yang kami temui untuk mencari jalan yang betul untuk sampai di Kuala Rompin. Alhamdulillah, akhirnya lebih kurang waktu maghrib maka kamipun sampai ke Bandar Baru Rompin. Ada sebuah masjid kayu yang cantik kami jumpa tetapi memutuskan untuk berhenti semasa dalam perjalanan pulang yang akhirnya membuatkan kami terlepas untuk singgah ke masjid tersebut. Jejak kami di Bandar Baru Rompin cuma tiga sahaja, Pantai Hiburan, Pusat Bandar dan Terminal Feri ke Pulau Tioman. Semuanya singgahan sekejap cuma. Teringat pula saya ketika menganjurkan kepada mas & Oxford untuk singgah di sini dek kerana terbaca butiran di dalam sebuah blog yang menulis tentang bandar ini. Akhirnya, sampai juga saya ke sini...









Masakan tidak. Lisa mempunyai memorinya tersendiri berkenaan Summerset Resort Rompin. Kiranya ingin menginap lagi di sini. Mas juga memiliki nostalgianya yang tersendiri berkenaan inapan ini. Cuma saya sahaja yang berlandaskan pancaindera yang pernah melihat foto menarik berkenaan resort ini tanpa pernah menjejakkan kaki. Lantaran itu saya terpaksa meng'google' melalui E71 saya (ketika itu) untuk mendapatkan no telefon dan cuba membuat tempahan pada saat akhir. Setelah beberapa kali berulang bicara akhirnya kami mendapat lampu hijau untuk menginap di Summerset Resort Rompin yang lebih kurang 20 kilometer dari Bandar Baru Rompin dan menghala ke arah Pekan. Lebih kurang jam 9.15 malam kamipun sampai dengan semangat yang berkobar-kobar. Sekali lagi malam ini kami terpaksa makan malam di hotel. Nasib baik Summerset menyediakan buffet makan malam dengan harga RM32.00 seorang. Jadi berbaloi-baloilah juga untuk makan malam dalam suasana keindahan malam dan kesunyian sambil diseru ombak sebelum melangkah masuk ke bilik yang mengadap Laut Cina Selatan. Indah bukan? Bayangkan sahaja.

Summerset Resort. Cantik pada nama dan rupa meskipun pantainya mengalami hakisan yang amat dahsyat. Seandainya kita bangun waktu subuh tentu perkara utama yang mahu dilakukan ialah merakam detik-detik matahari muncul di kaki langit dan meninggi. Berjalan di persisir pantai sambil mendedahkan tubuh dipukul deru ombak yang manja. Menguis-nguis pepasir sambil melakarkan frasa "I Wuz Ere". Berlari-lari anak mengejar ombak sambil mengutip kerikil. Itulah impian bagi mereka yang menggemari pantai. Leka di temani keindahan lantas lupa akan sarapan pagi.

Kami sebenarnya telah berjanji untuk 'check-out' agak lewat memandangkan kos yang di bayar untuk menginap agak 'premium'. Jadi kami perlu memanjakan diri untuk menikmati keindahan ini. Untuk itu perjalanan kami untuk hari ketika cuma bermula sekitar jam 10.00 pagi setelah puas menikmati apa yang ditawarkan Summerset Resort Rompin. Lantaran itu enjin dihidupkan, rodapun berputar...









No comments: