"BANDAR RAUB"
Raub sebenarnya adalah sebuah bandar sunyi. Bukan sahaja sunyi... ia adalah antara salah sebuah bandar tertua di negeri Pahang Darul Makmur. Jika ada yang masih musykil, Bandar Raub terletak di antara dua buah Banjaran iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Tenom. Bandar Raub memang ada dalam perancangan singgahan kami, maka wajarlah kami merealisasikan perancangan tersebut. Kami sampai di Bandar yang suatu ketika dahulu menjadi salah satu lombong emas negara ini kira-kira jam 5.45 petang. Antara lokasi utama yang kami tujui ialah Stesen Minyak PETRONAS untuk saya meneruskan 'PSS Challange' saya yang telah lama terbengkalai. Dalam usaha mencari stesen tersebut kami seakan terpandang sebuah bangunan lama yang cantik seperti di dalam risalah Pelancongan Bukit Fraser. Tidak lain dan tidak bukan, ialah Bangunan Rumah Rehat Raub. maka kamipun berhenti seketika untuk merakam pemandangan sekeliling. Lisa pula singgah untuk menunaikan hajat. Puas bergambar, kami meneruskan perjalanan.
Tiba-tiba terpandang pula papan tanda Raub Kopitiam yang agak 'mengancam pemandangan'. Maka kamipun terus mengikut papan tanda tersebut untuk menghilangkan dahaga. Eh.. bukan dahaga tetapi menghilangkan mengantuk. Raub Kopitiam ini telah dirasmikan oleh YBhg Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu) pada 23 Januari 2007. Di sini ada satu menu menarik iaitu Roti Angkasa !!! Jika kebetulan singgah di sini, jangan lupa memesan menu ini. Selain daripada itu mee/meehon tom yam di sini juga nampak menarik. Setelah kenyang dan kembali bertenaga, kamipun meneruskan perjalanan.
"JERAM BESU"
Memang dah sah kami memang terpaksa membatalkan niat untuk ke Kuala Lipis. Bak kata pepatah, 'Jika tidak dapat ke kuala, singgah ke sungai pun jadilah'. Maka dengan itu sebaik sahaja terpandang papan tanda Jeram Besu sayapun terus mendapatkan persetujuan Lisa & Mas untuk berhenti. Waktu ketika telah melepas jam 7.00 malam. Kami mengambil keputusan untuk berhenti dan melihat Jeram Besu dari dekat yang merupakan Sungai Lipis sebenarnya, barang sekejap. Meskipun tidak dapat mandi mahupun berakit sekurang-kurangnya kami dapat merasai sendiri kehebatan jeram (rapids) ini.
Dalam singgahan sekejap itu saya dapat maklumat bahawa antara kemudahan yang ada di sini termasuklah chalet, 'white water rafting', kenu, kayak, merentas hutan, tapak perkhemahan, 'abseiling', 'flying fox' dan memancing siang dan malam. Banyak bukan?
Sesungguhnya, kami cuma singgah sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan kawasan jeram yang begitu mencabar ini. Maka tidak wajar untuk saya memberi pendangan, tetapi mengikut cerita yang saya pernah dengar, jeram ini memang mencabar keupayaan fizikal. Kiranya kalau mengikuti Ekspedisi 4X4 pasti menarik.
Setelah lebih kurang 15 minit, kamipun berangkat meninggalkan Jeram Besu untuk menuju Tekam FELDA Residence - tujuan utama; BERMALAM.
No comments:
Post a Comment