Tuesday, February 16, 2010

Jelajah Persada Episod 2 : Bandar Ikan Patin


Saya berbalas-balas SMS semasa memandu ke Temerloh dengan Bell untuk bertanyakan tentang Gerai Ikan Patin yang paling enak yang beliau telah nikmati di dalam rancangan Nikmatnya Malaysia "Binggo" bersama Aidid Marcello tahun lal. Malangnya Bell juga lupa akan nama Gerai tersebut tetapi tulisnya di dalam sms balasan kepada saya berbunyi "gerai hujung berhadapan dengan sungai". Apabila sampai saya mencari gerai yang memasak ikan patin dengan menggunakan periuk besar. Alhamdulillah akhirnya saya pasti gerai yang ditunjukkan di dalam rancangan tersebut ialah Gerai Makan Pak Usop Istimewa Gulai Ikan Patin - MPT Lurah Semantan. Memandangkan kami bertiga (mas, Lisa dan saya) memang 'hantu' ikan patin maka kamipun memesan 2 ketul ikan patin beserta lauk dan ulam tambahan dan minuman 'spesel' ais jagung. Bukan kerana perut dah memang lapar sahaja; malah memang menjamu selera ikan patin di Bandar Ikan Patin menjadiantara agenda utama kami di dalam siri jJelajah Persada Episod 2 ini!! Wow... memang enak sekali., macam nak makan lagi. Jika tidak kerana perlu memandu ke destinasi seterusnya sudah tentu kami akan tidur di sini untuk pusingan kedua ikan patin gulai tempoyak. Ini memang kali pertama saya sampai ke Bandar Temerloh, selalunya kami (saya dan Lisa) cuma makan ikan patin gulai tempoyak di R & R Temerloh @ LPT sahaja ketika dalam perjalan ke Kuantan. Sesungguhnya memang dah lama mengidam nii...

Usai menjamu selera kami pusing-pusing Bandar Temerloh. Pekan yang agak membangun. Tetiba saja hati seakan terpanggil untuk menaiki sampan mengelilingi Sungai Pahang. Harganya juga agak berpatutan jadi kamipun bersetuju untuk menyusur sungai sambil menikmati keindahan. 3 orang di dalam perahu yang amat besar. Sungguh nyaman dan berangin keliling ketika berada di dalam perahu sambil menikmati pemandangan sekeliling. Sudah menjadi seperti 'trend' sekarang ini semua bandar akan mendirikan huruf-huruf gergasi nama bandar tersebut seperti di Hollywood yang sering kita lihat dahulu di dalam filem dan Temerloh tidak terkecuali dari trend ini. Jadi jika ke sini maka wajarlah mengabadikan gambar kenangan.

Di sepanjang Sungai Pahang terdapat banyak sanggar ikan patin yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk di sini. Ikan patin diternak secara komersial di sini, gerai menjual ikan patin juga memang banyak sekali. Banyak sangkar-sangkar ikan patin di pesisir Sungai Pahang yang menjadikan pemandangan amat menarik. Jika tidak menyusur Sungai Pahang di temerloh maka bolehlah melihat dari atas Jambatan Temerloh sahaja.

Kami meninggalkan bandar Ikan Patin ini dengan puas untuk menuju ke Tasik Bera. Bagaimana pula pengalaman di sana nanti ya?


No comments: