Monday, February 1, 2010

Jelajah Persada Episod 2 : Empangan Sungai Selangor


Kami tiba di Empangan Sungai Selangor kira-kira jam 12.15 tengah hari. Menyedari tidak mempunyai banyak masa kerana saya perlu bersolat Jumaat hari ini makan kami semua seperti akur untuk menghabiskan masa di sini kira-kira 30 minit sahaja meskipun suasana Empangan Sungai Selangor sungguh indah dan mengujakan sekali. Meskipun matahari sedang siap sedia untuk 'berdiri di atas kepala' dan memanaskan seisi bumi, suasana di sini begitu nyaman sekali. Ditambah pula dengan tiupan angin yang begitu mendinginkan, ingin sekali untuk singgah lebih lama sambil menghampar tikar, baring-baring ataupun menghabiskan bacaan novel tanpa sepatah kata. Merenung ketengan permukaan air di empangan begitu mengasyikan. Mendamaikan. Namun begitu, salakan anjing peliharaan dua orang pengawal yang saya kira perlu untuk mengawal keselamatan sedikit sebanyak mengganggu kedamaian tetapi keindahan mengatasi segala.

Setelah puas meninjau pemandangan sekitar empangan, kami masuk ke bangunan pameran untuk mempelajari sedikit sebanyak sejarah pembinaan empangan ini. Banyak maklumat yang disediakan oleh SPLASH untuk pengetahuan para pengunjung. Memang tidak ramai yang menjadikan lokasi ini sebagai destinasi lawatan (semasa kami singgah cuma ada 6 orang. kami bertiga, 2 orang pengawal dan seorang petugas bilik pameran). Sesungguhnya, projek ini bukan sahaja bermanfaat besar untuk Negeri Selangor Darul Ehsan (untuk bekalan air penduduk dan industri) tetapi juga Negara Malaysia amnya (untuk projek pembangunan dan penyediaan infrastruktur).

Setelah buku lawatan ditanda tangani kami meninjau pula tingkat atas 'deck' pemandangan. Melihat dari tempat tinggi memang lebih banyak yang dapat dilihat dan diamati sebenarnya. Kami terus merakam keindahan sambil sama sendiri mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t. limpahkan. Saya sesungguhnya bertuah dapat singgah di sini. Air dan manusia memang tidak dapat dipisahkan apatah lagi bagi mereka yang dilahirkan dan bernaung di bawah zodiak Pisces. tentulah leih-lebih lagi...





Hasil Daripada Carian Internet saya berkenaan Empangan Sungai Selangor Kuala Kubu Bharu.

Kuala Kubu Bharu ialah sebuah pekan kecil di mukim Ampang Pecah, daerah Hulu Selangor dalam Negeri Selangor Darul Ehsan yang terletak di sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kuala Kubu Bharu terletak di arah timur laut. Jarak di antara Kuala Lumpur dengan Kuala Kubu Bharu adalah lebih kurang 58 kilometer manakala jarak di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Bharu adalah lebih kurang 21 kilometer.

Projek pembinaan Empangan Hulu Selangor di Peretak, Mukim Peretak terletak berhampiran dengan kawasan perlancongan Bukit Fraser di sempadan Negeri Selangor Darul Ehsan dan Pahang. Empangan ini dibina di Sungai Selangor di Peretak dengan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan bekalan air untuk loji rawatan. Kawasan ini terletak di atas Sungai Selangor di KM66.5 Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser lebih kurang 5 kilometer ke timur Kuala Kubu Bharu. Empangan ini boleh menakung air sebanyak 235 juta meter padu air dan empangan ini hanya menggunakan 3% daripada kawasan air takungan yang seluas 197km persegi.

Empangan Sungai Selangor ialah empangan yang berstruktur batu dengan ketinggian 110 meter dan lebarnya 800 meter. Jenis struktur batu yang digunakan adalah sama dengan Empangan Kenyir (155m), Empangan Temenggor (127m) dan beberapa empangan yang lain. Ia terletak di lembah yang sempit di atas dasar batu granit yang sangat banyak di bawah anak sungai di pertemuan Sungai Selangor dan Sungai Gerachi. Pembinaan empangan ini mengambil masa 3 tahun. Reka bentuk empangan yang berdasarkan piawaian antarabangsa serta pembinaan berdasarkan batu granit yang kukuh menjadikan keselamatan empangan ini terjamin sepenuhnya. Dua kampung iaitu Kampung Gerachi dan Kampung Peretak terlibat dalam pembinaan kawasan empangan ini. Lebih kurang 76 buah keluarga yang terlibat terpaksa dipindahkan.

(SSF3) Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 3 adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang sumber air Negeri Selangor Darul Ehsan. Disiapkan secara berperingkat mulai tahun 2001, ia mampu menyediakan bekalan air bersih kepada 2 juta orang penduduk dan industri yang ada di Negeri Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1998, satu kajian yang terperinci telah dijalankan ke atas situasi bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kajian ini telah menunjukkan bahawa permintaan penduduk terhadap air akan melebihi bekalan pada tahun 2003. Situasi bekalan air masa kini adalah kritikal kerana loji rawatan air yang sedia ada kini beroperasi pada tahap maksimum. Akibat daripada perkembangan penduduk, perindustrian dan projek pembangunan dan di samping kemasukan penduduk dari luar negeri, permintaan air dijangka meningkat sebanyak 6% setiap tahun tetapi Negeri Selangor Darul Ehsan hanya mempunyai satu sumber bekalan air yang baru iaitu Sungai Selangor yang mampu membekal pertambahan air sebanyak 1050 juta liter per hari.

Walaupun SSF3 meningkatkan bekalan sebanyak 3656 juta liter per hari, permintaan air melebihi pertambahan bekalan pada tahun 2003. Permintaan air di Negeri Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berjumlah sebanyak 2500 juta liter per hari dijangka akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2010. Menurut ahli kaji penduduk, antara tahun 2050 dan 2100 permintaan air dijangka mencapi 9000 juta liter air per hari akibat daripada perkembangan penduduk Malaysia.

Kos yang diperlukan untuk mendapatkan air dari Sungai Selangor adalah lebih murah berbanding dengan alternatif-alternatif lain seperti penghantaran air dari Perak dan Pahang, air bawah tanah, penyahgaraman dan mengurangkan kebocoran paip.

Syarikat Konsesi iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sendirian Berhad (SPLASH) iaitu rakan kongsi antara The Sweet Alliance Sendirian Berhad, Gamuda Berhad dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad. Projek SSF3 meliputi pembinaan dua buah lagi loji rawatan di Rasa dan Bukit Badong, sebuah empangan pengawal, kolam takungan, rangkaian saluran paip dan penjajaran semula Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser. Dengan ini, pembaziran air akan dikurangkan kerana lebihan air pada masa ini mengaalir ke dalam laut secara membazir akan ditakung di empangan pengawal di Sungai Selangor pada musim hujan. Pada musim kering, takungan air ini akan dilepaskan bagi memastikan bekalan yang tetap ke loji rawatan di Rasa dan Bukit Badong.

1 comment:

nisyshy said...

z7i06y1p62 w6c96z5m70 l2l55o9l58 q9c38t0s36 v4k16c1x95 o8q27c9y76