Monday, February 1, 2010

Jelajah Persada Episod 2 : Perjalanan Bermula Lagi & Cendol Pak Man

JaseMario yang mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan bersama Pak Man. Pak Man yang berasal dari Negeri Sembilan ini sebenarnya pernah juga menetap di Sungai Petani, Kedah. Beliau juga boleh bercakap loghat Kedah dengan fasih sekali.



Episod kedua kami dirancang dalam keadaan yang tergesa-gesa dan amat singkat. Persetujuan awal di atara Mas, Oxford dan saya ialah kali ini kami akan menjelajah Negeri Pahang. Antara hentian yang difikirkan secara dasar termasuklah Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu (sempadan Negeri Pahang), Raub (Kuala Lipis - daerah kelahiran Datuk Siti Nurhaliza), Tekam Plantation Resort, Temerloh (untuk menikmati Ikan Patin Masak Tempoyak), Tasik Bera/Tasik Chini, Bandar Baru Rompin, Pekan & Sungai Lembing. Tetapi sehingga saat akhir tiada keputusan jitu dan kami masih berbalas-balas e-mel sehingga ke malam sebelum bertolak, 28 Januari 2010.

Keadaan bertambah parah keesokkannya, apabila lebih kurang jam 6.43 pagi, 29 Januari 2010; saya mendapat panggilan telefon daripada Mas mengatakan yang Oxford (sms daripada Oxford kepada saya cuma masuk ke telefon bimbit saya kira-kira jam 7.15 pagi) tidak dapat turut serta kerana anak saudara beliau telah dimasukkan ke hospital disyaki demam denggi berdarah (Alhamdulillah ketika saya menulis artikel ini semuanya telah selamat). Dalam perkiraan kami untuk mengajak rakan sekerja lain kami juga membuat keputusan untuk menukar 'rendezvous' dari Old Town Rawang kepada Surau PERMATA. Dek kerana sukar mendapat pengganti, maka kami mengambil keputusan untuk meneruskan EXPLORE dengan tiga orang (Mas, Lisa dan saya) dengan menggunakan 1 kereta sahaja. Dan Perodua Myvi Mas telah menjadi pilihan kerana ia lebih menjimatkan minyak !!!

Perjalanan cuma dapat bermula kira-kira jam 9.15 pagi dari Surau PERMATA. Hentian pertama kami ialan PSS (PETRONAS Service Station) NKVE untuk mengisi minyak (kereta) dan minum pagi (kami). Saya dan Lisa telah terlebih dahulu bersarapan, maka kami hanya menemani Mas dengan minum pagi dengan menu serawa pisang dan bubur kacang sementara Mas yang masih belum makan mengambil peluang untuk bersarapan dengan lontong. Kemudian Myvi meluncur laju menuju Pahang kira-kira jam 10.30 pagi.

Dalam sibuk kami bersembang dan mendengar lagu di dalam kereta tiba-tiba sahaja kami telah melepasi Rawang untuk menuju Kuala Kubu Bharu. Mas yang memang tahu saya peminat Mawi tiba-tiba teringatkan Gerai Cendol Pak Man. Mengikut ceritanya Mawi pernah singgah untuk minum di sini dan Pak Man pula telah mencetak gambar beliau bersama Mawi dan mempamerkan gambar-gambar tersebut di gerai milik beliau. menurut kisahnya lagi, lali terakhir Mas yang teringin menjamah cendol tersebut sebaliknya gagal berbuat demikian ialah ketika dalam perjalanan pulang dari urusan rasmi dari Perak bersama Oxford dek kerana Oxford telah kekenyangan. Tentunya kali ini kami tiada halangan untuk singgah. Dan cendol? Ya... saya sudah lama tidak makan cendol.

Apa yang pasti, Cendol Pak Man memang sedap (santan asli dan segar saya kira). Memang berbaloi untuk singgah dan menikmati Cendol Pak Man ini. Selain cendol dari pelbagai tambahan perisa seperti kacang, jangung dan pulut; gerai ini juga ada menjual Laksa Kedah (yang kelihatan amat enak sekali, tetapi sayang saya tidak mampu untuk makan laksa di waktu pagi) dan juga beberapa jenis mee. Pengunjung Gerai Cendol Pak Man ini juga boleh tahan ramainya.

Usai menjamu selera dan perutpun sudah kenyangan (ingat bidalan lama... Gendang Gendut Tali Kecapi, Kenyang Perut Suka Hati - begitulah kami) maka kamipun mengambil kesempatan untuk mengambil gambar. Saya secara peribadi mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Pak Man dan juga bergambar kenang-kenangan dengan beliau. Entah bila dapat makan cendol di sini lagikan....

Perjalanan di teruskan kira-kira jam 11.59 minit pagi. Singgahan seterusnya ialah Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu. Sebelum kami secara rasmi akan memasuki Negeri Pahang Darul Makmur !!! Nantikan saja...

No comments: