Friday, February 15, 2008

Saya Sedang Asyik dengan Ungu Karmila...


Ramlee Awang Murshid bukanlah nama asing bagi mereka yang menggemari novel tempatan; lebih-lebih lagi mereka yang gemar membaca novel genre thriller dan suspen. Nukilan terbaru Ramlee ialah Ungu Karmila yang telahpun berada di toko-toko buku berhampiran. Dua hari lalu, dek kerana perlu menunggu Lisa melangsaikan tugasnya di pejabat... saya telah merayap di Kinokuniya Suria KLCC. Seperti pucuk di cita, ulam mendatang.... terpandang saya akan naskhah Ungu Karmila... apa lagi tangkap lah !!!
Ingatkan novel ini adalah penamat kepada Trilogi Bagaikan Putri & Cinta Sang Ratu... rupanya tidak. Ungu Karmila adalah 'stand alone' novel. Kisahnya berlatarkan kepada tragedi pembunuhan sepasang suami isteri Arif & Karmila serta pembantu rumah mereka; Bu Jinab di Villa Sunyi yang dihadiahkan oleh abang Arif, Arafat kepada beliau. Memang menarik novel ini, tapi saya yang masih belum tiba di nokhtah penamat; agak keliru juga dengan status Arafat... adakah bujang atau berkeluarga sebab ada percanggahan fakta di awal novel. Seperti biasa, Ramlee akan membawa kita imbas kembali detik lama, watak-watak sampingan serta setting sekarang yang perlukan penelitian ketika membaca.



Saya mengenali Ramlee semasa novel pertama beliau bersama Alaf 21 - Tombiruo. Sehingga kini, novel-novel Ramlee telah menjadi penghias utama kepada rak-rak buku di rumah saya. Semuanya masih tersimpan rapi... dari Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Semangat Hutan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku di Harajuku sampailah kepada Cinta Sang Ratu. Saya juga ada menyimpan Anugerah Pertama (Creative Enterprise) dan Pei Pan (DBP) yang telah di layar TV kan. Hmmm... semuanya siap ditanda tangan oleh Ramlee...
Bulan April 2008 ini, insyaAllah saya akan bertemu Ramlee Awang Murshid lagi... tentunya di KL International Book Fair 2008 di PWTC !! Jom ramai-ramai...

No comments: