Thursday, August 16, 2007

(1) Semarakkan Kemerdekaan Malaysia ke 50 - Memahami Tema & Logo Sambutan Kali Ini





Pagi tadi saya ada terbaca dalam sebuah blog yang menulis tentang 50 perkara yang boleh dilakukan untuk menyambut 50 tahun Kemerdekaan Malaysia. Saya pun turut teruja sama untuk menulis tentang apa yang saya boleh lakukan untuk menyemarakkan lagi sambutan yang gemilang ini.


Pertama sekali saya perlu memahami dan berkongsi maklumat dengan rakan-rakan mengenai logo dan Tema Sambutan Kemerdekaan ke 50 tahun ini.


Tema Sambutan Kemerdekaan ke 50 tahun ini ialah "MALAYSIAKU GEMILANG" (yang perlu disebut mengikut nada lagu rasmi sambutan kali ini..:))


Sementara rasional kepada rekabentuk logo ini yang diilhamkan dari Jalur Gemilang sedang berkibar, bendera kebanggaan kita. Kibaran Jalur Gemilang melambangkan semangat kecintaan kita kepada Malaysia.

Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima manakala bentuk bulan dan bintang pula angka kosong, maka hasilnya angka 50 yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50.

Bahagian di hujung angka 5 adalah stigma bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pada stigma itu diletakan lima titik di hujungnya yang bermaksud lima prinsip Rukun Negara yang menjadi amalan kita bersama.

Dasar logo adalah bulat ‘italic’ ke kanan melambangkan dinamiknya kemajuan yang pesat yang dialami oleh Malaysia sejak 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Bentuk bulat juga melambangkan rakyat Malaysia berbilang kaum yang bersatu dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang 50 tahun usia kemerdekaan.

Warna merah dan putih melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia.


Warna biru bermaksud perpaduan rakyat.


Warna kuning adalah melambangkan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan kegemilangan yang dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia.


Sama-samalah kita Menggemilangkan Malaysiaku Gemilang !!!