Kekosongan hidup Dollah ditemani dengan gelak tawa dan gurau senda rakan-rakan-rakan di tempat kerjanya. Selain itu, Dollah juga sering mendapat perhatian daripada kerani bernama Ani yang sering mengambil berat terhadap Dollah. Namun begitu sebagai pemandu lori, rutin harian Dollah agak membosankan apatah lagi bila dia hidup kesorangan.
Suatu hari Dollah dikejutkan dengan kunjungan seorang gadis yang seiras wajah bekas isterinya. Fatihah adalah anaknya yang ditinggalkan 17 tahun lalu. Kehadiran Fatihah mengingatkan Dollah pada kisah lalu. Dollah pernah berkeluarga dan pernah bercinta serta cintanya dihalang oleh keluarga isterinya. Isteri Dollah datang daripada keluarga mewah. Pastinya keluarga isterinya tidak mahu membiarkan anak mereka hidup susah bersama dengan pemandu lori. Akhirnya Dollah melepaskan isterinya yang sedang mengandungkan Fatihah ketika itu kepada keluarga isterinya bagi memastikan kehidupan dua beranak itu terjamin. Mulai dari saat itu, Dollah mula kesunyian.
Berbalik kepada Fatihah, Dollah bertanyakan kepada Fatihah mengenai ibu Fatihah dan jawapan yang diterima ialah ibunya telah meninggal dunia ketika usia Fatihah 6 tahun. Dollah terkejut kerana keluarga isterinya tidak menyampai berita tersebut kepadanya. Dalam keadaan sayu, Dollah bertanya kepada Fatihah akan tujuan sebenar Fatihah datang berjumpa dengannya. Fatihah memberitahu dia ingin menghabiskan cuti sekolah selama sebulan untuk mengenali ayahnya itu. Fatihah terlebih dahulu telah meminta izin daripada Tok Mak.
Dollah menjadi malu untuk menyambut kehadiran Fatihah kerana keadaan rumahnya yang usang dan berselerak sedangkan Fatihah sudah biasa hidup mewah bersama Tok Mak. Kehadiran Fatihah sedikit sebanyak telah mengubah sikap pendiam Dollah.
Jika dulu sakit demam Dollah tiada siapa peduli tapi kini Fatihah yang manjaganya. Malahan keadaan rumah termasuk makan dan pakai ayahnya akan diuruskan Fatihah. Fatihah juga sering mengikut ayahnya ke tempat kerja.
Setiap kali berborak dengan Kak Ani, Fatihah dapat menghidu akan keprihatinan Kak Ani kepada ayahnya, namun ayahnya sahaja yang tidak mengendahkan hal itu. Suatu hari Dollah telah meminta Fatihah untuk berterus terang dengannya sama ada betul atau tidak Tok Mak mengetahui Fatihah berada dengannya. Akhirnya, Fatihah mengaku bahawa dia lari dari kursus yang sepatut dihadirinya selepas peperiksaan SPM kerana ingin mencari Dollah.
Dalam masa yang sama, Amat kawan sekerja Dollah semakin iri hati dengan Dollah apabila Fatihah cuba merapatkan hubungan Dollah dengan Ani. Malah dalam tak sedar, Amat suka melihat Fatihah. Nafsu telah mendorong Amat yang hampir merogol Fatihah tetapi sempat diselamatkan oleh Said. Apabila mengetahui keadaan Fatihah tidak selamat, Dollah menyuruh Fatihah pulang namun Fatihah merayu ingin terus tinggal dengan Dollah. Dollah bersetuju tetapi meletakkan syarat supaya Fatihah menghubungi Tok Mak dan memberitahu perkara sebenar.
Akhirnya Fatihah terpaksa pulang bersama Tok Mak. Kepulangan Fatihah ke pangkuan Tok Mak membuatkan Dollah kembali sunyi tetapi dia merelakan pemergian Fatihah. Fatihah begitu marah kerana abahnya tidak berlawan habis-habisan untuk mempertahankan haknya sebagai ayah kandung Fatihah. Namun Dollah mempunyai sebab mengapa dia rela melepaskan Fatihah. Segala-galanya terjawab apabila Said dan Kak Ani datang bertemu Fatihah dan memberitahu segala rahsia yang Fatihah tidak pernah tahu selama ini. Apabila terbongkar segalanya Tok Mak menyesali segala apa yang telah dia lakukan terhadap Dollah dan Fatihah.
1. CERITA ASAL, LAKON TV & ARAHAN -AZMA AIZAL YUSOOF-
2. PENULIS SKRIP -EENAZ MOKHTAR-
3. PENGARAH VIDEOGRAFI -AM IZHAM-
4. PENERBIT -ZIZIE IZETTE (BZ2121 PRODUCTIONS)-
PELAKON UTAMA:
FAIZAL HUSSEIN – DOLLAH
SHARIFAH AMANI – FATIHAH
SYAFIE NASWIP – SAID
AMYZA AZNAN – ANI
AZHAN RANI – AMAT
KHATY FAUZIAH – TOK MAK
Nota Jase :
Ini merupakan telefilem pilihan saya sempena Labaran 1433H tahun ini. Nasib baik sudah ada 'link' untuk menonton kali kedua di intgernet. Semasa di tayangkan pada hari raya ketiga dahulu saya tidak sempat menonton keseluruhan drama ini kerana perlu berkunjung ke rumah saudara-mara. (Nasib baik ada Ayie yang telah membocorkan penamat cerita ini). Saya kira jalan cerita yang amat menarik, skrip yang mantap dan barisan pelakon yang hebat seperti Faizal Hussein, Amani, Syafie Naswip dan Amiza Adnan menambahkan lagi kehebatan telefilem ini. Amani dan Faizal telah memberikan mutu lakonan yang amat memberangsangakan. Cuma agak ralat kerana sehingga ke akhir Said dan Fatihah tidak juga bercinta...:) (Kan Ayie !!!).
No comments:
Post a Comment