Khamis lalu (23 November 2006) saya telah berkesempatan untuk menonton Raptai Penuh Teater Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu (PMPMTT). Undangan melalui telefon dari Bell di saat-saat akhir mula-mula agak berat untuk saya terima, apatah lagi saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Namun setelah berfikir panjang (dan saya juga perlu 'support' Bell juga kan, memberi komen 'apa yang patut'), lantaran itu juga Zam juga kawan saya yang tinggal di Bandar Tasik Selatan juga berminat untuk menonton maka kami pun merentas hujan renyai-renyai lewat maghrib untuk sampai ke Istana Budaya.
Jika kita sebenarnya peminat PMPMTT, tentu ini peluang terbaik untuk mengimbau kembali nostalgia setelah sekian lama siri komedi ini tidak menemui kita di kaca-kaca tv di rumah. Apatah lagi semua 'original cast' muncul memegang peranan mereka. Zami Ismail ada, Khatijah Tan ada, Imuda, Angelene Tan, Sabri Yunus sekadar menyebut beberapa nama. Sementara 'casting' tambahan ramai juga yang kurang dikenali kecuali Zaibo (Pak Abu), Bell (Nasrizal Ngasri yang memegang watak Sukarman 'celup') dan Ismail Kering (Wak Patah Kaki @ Wak Kaki Patah).
Apa yang membezakan pementasan kali ini ialah ia bercorak MUZIKAL Teater, jadi kita tidak hanya akan tidak kering gusi dengan 'lawak-lawak spontan' tetapi juga akan dihiburkan dengan lagu-lagu ala-ala 'West End'. Jangan terlalu mengharap ia akan selucu seperti dalam sitcom TV, tetapi ia sebenarnya lebih segar dari apa yang pernah dipertontonkan sebelum ini. Kita akan dapat menyaksikan bagaimana Khatijah Tan menyanyi, Bell pun ada juga menyanyi sedikit, tidak ketinggalan pelakon dari Filipina (rasanya) yang memegang watak Ms Juliet yang menyampaikan 2 lagu menarik.
Ceritanya lebih kurang begini, sekumpulan 'production house' telah datang ke Kampung Seri Wangi untuk melihat watak-watak sebenar Pak Uda, Lucy, Ravi, Mat Deris, Wan Ismail Golok, Budin dan lain-lain dikampung di mana watak mereka sebelum ini dilakonkan oleh Zami, Imuda, Angelene dll di kaca TV. Dek kerana mereka ini semuanya berbakat, akhirnya mereka akan ditawarkan belakon di Panggung Budaya untuk Muzikal PMPMTT yang akan diarahkan oleh Hafsham.
Jika ada peluang, insyaAllah saya akan menonton lagi. Muzikal PMPMTT dipentaskan di Istana Budaya dari 24 November - 2 Disember 2006. Harga tiket bermula dari serendah RM20. Jom kita pecah perut... (Untuk Bell - 'All the Very Best' untuk teater ini, setelah sekian lama tak muncul di pentas teater, tak gitu?).
No comments:
Post a Comment