Monday, January 3, 2011

Seharian di Pulau Ketam





Pulau Ketam, jika diterjemahkan di dalam Bahasa Ingeris akan berbunyi seperti ini - 'Crab Island'. Ia adalah sebuah pulau kecil yang terletak di lepas pantai Port Klang, Selangor Darul Ehsan. Mengikut sejarahnya ia ditemui sekitar tahun 1880an. Pulau ini mudah di akses/di lawati dari dermaga Pelabuhan Klang oleh feri/tongkang/sampan. Lokasinya dari tanah besar ialah sekitar 10 kilometer dan berdirinya pulau ini setinggi 10 meter di atas permukaan laut.

Jalan umum utama di pulau ini adalah konkrit yang sempit, sementara di daerah perumahan, yang lebih tua reyot pula dihubungi oleh titi papan kayu tua yang separa utuh. Tidak ada kereta di Pulau Ketam untuk meninjau dan menjelajahi samada berjalan kaki ataupun berbasikal saja. basikal boleh di sewa dengan kos RM5 untuk sebuah basikal sehari. Ada juga di kalangan penduduk tempatan yang memiliki basikal bermotor dan motosikal.

Penduduk tempatan terutama dari keturunan Teochew dan Hoklo (Hokkien) dari Negara China, dengan Teochew, Hokkien dan Mandarin adalah dialek utama diucapkan. Sudah tentunya mereka juga boleh berbahasa Melayu dialek pasar.

Terdapat hanya sebuah restoran yang menghidangkan makanan halal yang dikendalikan oleh orang muslim berbangsa campuran cina (terima kasih kepada seorang anggota polis yang menunjukkan kami akan kedai ini) dan seorang Pak Cik yang menjual makanan kegemaran saya 'apam balik/terang bulan'. Ada ais krim berbentuk telur yang bukan sahaja cantik tapi enak yang dikenali sebagai 'the perfect ice cream'. bekas plastik yang berbentuk telur ayam ini boleh dikitar semula sebagai bekas simpanan kelip kertas, butang baju melayu dsb.

Kemudahan asas di sini boleh di katakan lengkap. Ada Balai Islam (untuk menunaikan solat), Balai Polis, Pusat Kesihatan, Maybank dan Bomba. Jika ingin bermalam terdapat sekurang-kurangnya 2 buah inapan yang murah.

Bagaimana hendak ke sini? Mudah sahaja. Gunakan perkhidmatan awam. Gunalah perkhidmatan Komuter dari tempat anda dan berhenti di destinasi terakhir iaitu Pelabuhan Kelang. Dermaga untuk ke Pulau Ketam letaknya cuma di sebelah stesen ini. Perjalanan menaiki feri dari dermaga ke Pulau ketam mengambil masa kira-kira 40 minit. Feri terakhir dari Pulau Ketam bertolak kira-kira jam 6.00 petang. Jika lambat, bermalamlah di sini. Bolehlah menjamah makanan laut di sini.

Memancing? Bukan bidang saya tetapi saya kira ia boleh dilaksanakan di sini...

Kenangan saya dan Lisa, saya kira kami sudah lama tidak berbasikal, jadi ini merupakan peluang terbaik untuk berbasikal mengelilingi pulau. Kepulangan kami ke tanah besar lewat hari pertama tahun 2011 baru lalu di sambut dengan hujan yang agak lebat sehingga membasahi tubuh yang telah keletihan namun kepuasan...

No comments: