Monday, September 18, 2006

Konsert Nur.... Sesekali Makanan Jiwa Terasa Amat Mengenyangkan

Sesudah mengikuti promo OIAM di Selayang Mall, Mus dan saya masih berkira-kira samada untuk ke Istana Budaya (IB) atau tidak. Hujan rahmat sebenarnya telah menyebabkan Mus tanpa ragu-ragu meluncurkan Spectra baru beliau yang juga baru keluar dari bengkel terus ke Jalan Tun Razak. Hujan semakin lebat, kami tiada pilihan melainkan berhenti di CafĂ© IB (yang murah, suasana yang segar & tidak kurang enaknya) lantas menjamu selera. Ketika itu suasana IB masih suram, masih belum ramai yang datang, masih awalpun kira-kira jam 5.30 petang. Selesai makan kami ke kaunter bertanyakan soal tiket, MasyaAllah…. Tiket RM 30 telah habis !!! Mana mungkin, beberapa hari lalu saya ada menelefon IB, ketika itu masih banyak lagi tiket RM 30. Apakan daya yang tinggal cuma tiket RM 80, saya masih berkira-kira untuk membeli atau tidak, sedangkan Mus dari awal mengatakan tidak mahu menonton. Tanpa berfikir panjang, kami terus menyaksikan raptai akhir. Ketika itu tengah ‘sound test’ untuk lagu Mawi, ‘Kian’. Sambil itu sempat juga bersembang dengan Adik Ikhwal, yang hamper selalu juga saya bertemu.

Selesai raptai, aku membuat beberapa panggilan telefon dan sms mengajak rakan-rakan lain turut serta di saat akhir. Malangnya semuanya tidak mahu. Akibat kasihan (mungkin? Lagipun ada Mawi kan) Mus berubah fikiran, saya pun apa lagi… pejam mata dan serahkan kad kredit untuk ‘di swipe’ bagi membeli 2 keping tiket RM 80 !!! Selesai solat Maghrib barulah kelihatan ramai yang datang, di luar IB… hujan masih rintik-rintik. Tidak lupa juga, Cute juga akhirnya bersetuju untuk turut serta setelah mendapat penaja 50% daripada harga tiket.

Konsert Nur yang menampilkan hiburan alternatif Islamik ini jika tidak silap saya merupakan kali ketiga ia di jalankan di IB. Inilah kali pertama saya benar-benar berkesempatan untuk datang menonton. Buka sahaja berhibur tetapi juga menderma. Konsert ini dianjurkan bagi mengumpul dana untuk Tabung Pendidikan Anak-anak Yatim. Konsert yang menonjolkan lagu-lagu berberbentuk kerohanian Islam yang merdu dan menusuk jiwa ini adalah anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) bersama Amanah Raya Berhad dan Karyawan. Tema bagi Konsert ini ialah Ketulenan, Perbandingan dan Gabungan Suara Kerohanian yang telah didendangkan hasil daripada alat bunyi-bunyian peralatan tradisional dari 3 kelompok iaitu Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah. Persembahan di bahagi kepada 3 segmen iaitu puisi kerohanian, nyanyian & instrumental. Antara alat muzik yang digunakan ialah peralatan muzik tradisional melayu dan juga peralatan moden seperti biola, violin, chello dll.

Niat yang baik... mendapat balasan yang baik juga, alhamdulillah. Selang beberapa minit selepas persembahan dimulakan, penonton-penonton terpilih di Aras 2 telah dijemput turun ke Aras 1 oleh petugas IB (termasuklah kami bertiga). Sebenarnya tiket tajaan korporat memang habis dijual tetapi penontonnya tidak kunjung-kunjung tiba. Sudah tertulis, tiket RM80 kami telah berubah ke tempat duduk bernilai RM150. Nun jauh di Aras 3, tiket RM30 awal-awal lagi sudah habis diborong dan sudah semestinya oleh Mawi FC. Ini terbukti kerana setiap kali Mawi muncul, begitu jelas kedengaran jeritan memanggil nama beliaui dari aras tersebut.

Ramai artis yang turut serta, Mawi cuma muncul sebagai penampilan istimewa untuk 16 September (17 September – Ramli Sarip) antaranya ialah Adik Ikhwal, Khir ‘Hang Tuah’ Rahman , Raihan (tanpa Nazrey Johanni), Nash, Aishah, Kumpulan Tamingsari dan Anak-anak Yatim dari Pinggiran Taman Tun. Persembahan nyanyian dan instrumental ini turut di selang-selikan dengan bacaan surah-surah Al-Quran dari Uncle M.Rajoli yang muncul dari segenap ruang pentas. Apa yang paling indah? Khir Rahman begitu mengasyikan mendendangkan Lagu Gigi, yang saya lupa tajuknya. Zikir yang di bawa oleh Nash juga tidak kurang hebatnya meskipun vocal Nash kurang menonjol. Adik Ikhwal juga tampil dengan begitu menyakinkan dengan lagunya. Video Asmaul Husna oleh The ESQ Way 165 juga menarik. Mawi…. Memang ‘superb’ malam tersebut dengan tiga buah lagu. Kawasan penonton yang agak suram membuatkan Mawi terutamanya sukar untuk melihat penonton, meskipun kami boleh dikira antara yang berada di barisan hadapan. Tambahan pula Pengarah Konsert – Raihan Suleiman Palestin berasal dari Kulim, Kedah dan Mohd Yazid Zakaria (Pengarah Muzik) memang saya amat kenali.

Secara keseluruhan…. Makanan rohani malam ini amat mengenyangkan. Alhamdulillah... jika diberi kesempatan insyaAllah tahun hadapan saya akan mencari peluang menghadirkan diri lagi...





No comments: